AM > BERITA

Masalah Kesuburan Lelaki Punca Hampir Separuh Kes Pasangan Sukar Hamil- LPPKN

24/12/2025 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Masalah kesuburan dalam kalangan lelaki menyumbang hampir separuh daripada punca pasangan sukar mendapatkan zuriat, kata Pegawai Perubatan Pusat Kepakaran Subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Ahmad Zaki Asraf.

Bagaimanapun, beliau berkata isu tersebut masih kurang dibincangkan dan sering disalahertikan sebagai masalah wanita semata-mata.

“Dalam masyarakat, apabila pasangan gagal hamil, wanita sering menjadi pihak yang dipersalahkan sedangkan realitinya lelaki juga mempunyai peranan besar dalam isu ini.

“Berdasarkan data antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), faktor lelaki menyumbang kira-kira 45 peratus kepada masalah kesuburan pasangan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Podcast Kasih Lensa Keluarga bertajuk ‘Lelaki Sihat Luar Dalam’ terbitan Bernama TV, malam ini.

Beliau berkata masalah kesuburan lelaki secara umumnya melibatkan dua komponen utama iaitu aspek seksual dan kualiti sperma, dengan faktor sperma dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar.

Dr Ahmad Zaki berkata analisis sperma yang dijalankan di LPPKN menunjukkan kira-kira 60 peratus sampel sperma lelaki didapati tidak normal, melibatkan tiga aspek utama iaitu bilangan sperma, pergerakan dan bentuk sperma.

“Bilangan sperma yang sihat sepatutnya melebihi 15 juta bagi setiap mililiter, pergerakan aktif ke hadapan melebihi 32 peratus dan sekurang-kurangnya empat peratus mempunyai bentuk normal,” katanya.

Beliau berkata kegagalan memenuhi mana-mana kriteria itu boleh menjejaskan peluang kehamilan secara semula jadi walaupun hubungan kelamin berlaku secara normal.

Mengulas punca masalah sperma, Dr Ahmad Zaki berkata faktor gaya hidup merupakan antara penyumbang utama yang boleh diubah, termasuk obesiti, tabiat merokok dan pendedahan kepada asap rokok.

Beliau berkata peningkatan berat badan boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon lelaki iaitu apabila hormon testosteron bertukar kepada estrogen, ia sekali gus menjejaskan penghasilan sperma.

“Merokok pula bukan sahaja memberi kesan kepada paru-paru malah bahan kimia dalam asap rokok boleh memasuki aliran darah dan menjejaskan fungsi organ pembiakan,” katanya.

Selain masalah sperma, beliau berkata sebahagian lelaki turut mengalami gangguan seksual seperti disfungsi ereksi dan ejakulasi pramatang yang boleh menghalang penyampaian sperma kepada ovum walaupun kualiti sperma adalah normal.

Dr Ahmad Zaki berkata tinjauan kesihatan kebangsaan menunjukkan kira-kira tiga daripada 10 lelaki di Malaysia mengalami masalah mati pucuk, termasuk dalam kalangan lelaki muda berusia 20 hingga 35 tahun.

Beliau berkata faktor psikologi, tabiat tidak sihat, penggunaan bahan lucah serta jangkaan seksual yang tidak realistik dikenal pasti antara punca utama peningkatan masalah itu dalam kalangan lelaki muda.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan dan rawatan awal, termasuk mendapatkan nasihat perubatan secara profesional.

Bagi menangani isu berkenaan, Dr Ahmad Zaki berkata LPPKN menubuhkan Klinik Kesejahteraan Lelaki yang menyediakan sesi saringan kesihatan, kaunseling dan rawatan secara bersemuka bagi membantu golongan itu menangani masalah kesuburan dan seksual secara menyeluruh.

“Lelaki juga mempunyai emosi dan tekanan tersendiri. Apabila diberi ruang selamat untuk bercakap, ramai yang sebenarnya mahu mendapatkan bantuan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan