AM > BERITA

Menteri Kabinet Ucap Selamat Hari Natal, Tekankan Nilai Saling Menghormati

25/12/2025 11:37 AM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Ahli Jemaah Menteri hari ini menyampaikan ucapan sambutan Hari Natal kepada penganut Kristian, sambil menekankan kepentingan perpaduan, keharmonian serta nilai saling menghormati dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sambutan Hari Natal mencerminkan keindahan Malaysia yang terus kukuh kerana kepelbagaian yang diraikan bersama, sekali gus menjadi tunjang kepada keamanan dan keharmonian negara.

“Sempena minggu sambutan yang panjang ini, ambillah kesempatan untuk menziarahi rakan dan keluarga serta mengeratkan hubungan sesama kita. Inilah semangat Kerajaan MADANI - meraikan kepelbagaian, mengukuhkan perpaduan,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berharap sambutan perayaan ini membawa kedamaian, kegembiraan dan detik bermakna bersama keluarga, di samping meminta rakyat menikmati perjalanan yang selamat di jalan raya. 

“Semoga musim perayaan ini membawa kegembiraan, kedamaian dan detik-detik bermakna bersama insan tersayang. Sempena menyambut Tahun Baharu, marilah kita terus bekerjasama dalam semangat perpaduan untuk membina negara yang lebih selamat, kukuh dan sejahtera,” katanya.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut menyampaikan ucapannya sambil berharap nilai kedamaian dan kasih sayang sesama insan terus memperkukuh perpaduan demi masa depan negara yang harmoni.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sambutan Hari Natal wajar menjadi pemangkin kepada pengukuhan nilai kebersamaan, saling menghormati dan keharmonian, sambil menekankan bahawa rakyat Malaysia kekal bersatu demi keamanan dan kesejahteraan negara dalam kepelbagaian.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menekankan bahawa rasa hormat, kefahaman dan penghargaan antara satu sama lain merupakan asas pembinaan negara, serta meminta rakyat meraikan dan mempromosikan kepelbagaian di Malaysia. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pula berharap sambutan Hari Krismas disambut dengan meriah dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan serta persahabatan.

“Dengan kepelbagaian agama dan budaya dalam negara, marilah kita terus memelihara keharmonian serta meningkatkan semangat perpaduan dan budaya saling menghormati demi kesejahteraan dan masa depan negara yang aman dan makmur, sejajar dengan nilai-nilai masyarakat MADANI,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata musim perayaan bukan sekadar tentang pemberian hadiah, tetapi juga mengenai rezeki, kebersamaan dan saling menghargai.

“Apabila masyarakat dan sektor pertanian bergerak seiring, keterjaminan makanan menjadi hadiah paling bermakna untuk semua, kepada keluarga, komuniti dan negara.

“Semoga sambutan Hari Natal ini membawa kegembiraan, kedamaian dan harapan baharu, serta mengeratkan hubungan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia,” katanya. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula berkata sambutan Hari Natal wajar dijadikan wadah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, menyemai sikap toleransi dan memperkukuh perpaduan walaupun berbeza bangsa dan agama.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sim berkata sambutan Krismas bukan sahaja musim perayaan, malah masa untuk refleksi, kesyukuran dan mengeratkan hubungan sesama insan, sambil menegaskan bahawa keharmonian serta kekayaan budaya negara merupakan sumber kebanggaan nasional dan tarikan utama pelancongan Malaysia.

Turut menyampaikan ucapan Hari Krismas di platform media sosial ialah Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan