KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Menjamin keselamatan setiap pelancong mesti dijadikan keutamaan negara ketika Malaysia bersiap sedia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), kata Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata pengalaman pelancongan yang selamat, lancar dan boleh dipercayai amat penting bagi mengukuhkan reputasi Malaysia di peringkat global sebagai destinasi pelancongan pilihan, sambil menegaskan bahawa sektor pelancongan merupakan tonggak ekonomi negara yang menyediakan sumber pendapatan kepada jutaan penduduk.
“Bagaimanapun, tiada keindahan pantai, bandar raya yang meriah atau kekayaan budaya mampu menampung persepsi – atau lebih buruk, realiti – keadaan perjalanan yang tidak selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata berita tentang kemalangan, sama ada kemalangan maut di lebuh raya atau tragedi di laut, tersebar dengan cepat dan meluas, berpotensi menjejaskan aspirasi pelancongan Malaysia menjelang kempen antarabangsa besar itu.
Beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan supaya menjadikan keselamatan sebagai keutamaan utama negara, dengan menegaskan bahawa keselamatan bukan sekadar komponen infrastruktur atau penguatkuasaan, sebaliknya asas utama kepada industri pelancongan yang berjaya.
Lee turut menyeru peralihan nasional ke arah pembentukan budaya keselamatan yang kukuh, dengan menekankan bahawa keselamatan tidak boleh dikuatkuasakan semata-mata, sebaliknya perlu diterapkan melalui penguatkuasaan tegas undang-undang trafik dan peraturan keselamatan maritim, di samping kempen pendidikan serta kesedaran awam yang berterusan.
Beliau berkata usaha itu perlu disokong oleh pelaburan infrastruktur yang mantap, termasuk mempercepat naik taraf laluan jalan berisiko tinggi, penambahbaikan pencahayaan, papan tanda dan kemudahan pejalan kaki, selain meningkatkan bantuan navigasi maritim, piawaian peralatan keselamatan serta fasiliti pelabuhan.
“Kejayaan TMM2026 bukan hanya bergantung kepada strategi pemasaran yang cemerlang, tetapi juga realiti sebenar persekitaran yang selamat dan terjamin,” katanya sambil menambah Malaysia perlu bergerak ke arah “Vision Zero”, iaitu memastikan semua kemalangan yang boleh dicegah dapat dielakkan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, dilaporkan berkata lebih banyak acara pelancongan utama akan diadakan di luar Kuala Lumpur bagi merangsang aktiviti pelancongan serta memacu pertumbuhan ekonomi di negeri lain.
Tiong berkata Malaysia kini sedang memuktamadkan kalendar acara utama di seluruh negara untuk TMM2026, dengan sasaran 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan penerimaan hasil pelancongan sebanyak RM329 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial