PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini merakamkan penghargaan kepada pegawai penyiasat dan pasukan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Azam dalam kenyataan merakamkan penghargaan itu susulan pengumuman keputusan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pegawai penyiasat serta pasukan pendakwaan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak awal siasatan 1MDB dimulakan pada Julai 2015 sehingga sampai pada penyelesaiannya, dengan pengumuman keputusan penghakiman kes ini.
“Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa para pegawai penyiasat, khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata siasatan kes itu berdepan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa namun pasukan penyiasat kekal beriltizam untuk memenuhi piawaian perundangan yang ketat bagi membolehkan kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah.
Selain itu, Azam turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Begitu juga, kerjasama rakan-rakan penguat kuasa luar negara amat penting dalam proses yang kompleks dan mencabar untuk mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama,” katanya.
Beliau berkata antara agensi yang telah memberikan bantuan amat bernilai dari segi pengesanan, pengumpulan dan pengesahan bukti ialah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.
Turut memberi bantuan adalah Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados.
“Profesionalisme serta komitmen berterusan mereka dalam kerjasama rentas sempadan ini amat dihargai,” katanya.
Beliau berkata bagi SPRM, keputusan ini bukanlah satu detik untuk diraikan atau patut dibanggakan, sebaliknya ia mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab dan amanah kepada negara selaras dengan mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepada agensi itu.
“Peranan kami kekal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, berpandukan sepenuhnya kepada fakta, bukti dan kepentingan awam,” katanya.
Bernama melaporkan Najib didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Beliau memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.
Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial