AM > BERITA

Belia Perlu Kekal Aktif Rohani Dan Jasmani - Dr Mohammed Taufiq

27/12/2025 10:42 AM

ALOR SETAR, 27 Dis (Bernama) -- Golongan belia perlu kekal aktif serta sihat dalam aspek minda dan jasmani agar mampu membentuk idealisme sekali gus menjadi individu yang berwibawa.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata mereka juga perlu mempersiapkan diri supaya dapat menggalas tanggungjawab lebih besar termasuk untuk menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.

“Kita mahu mempersiapkan belia, anak muda bukan hanya menjalani kehidupan sehari-hari, tetapi yang lebih penting ialah belia yang boleh serta mampu menggalas tanggungjawab lebih besar pada masa akan datang.

“Pemimpin datang dan pergi, namun belia, anak muda tidak terhenti di sini ... berterusan dan hal ini perlu diisi dengan pelbagai program membina sahsiah jati diri anak muda itu sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau ditemui selepas merasmikan dan melepaskan peserta larian bersempena dengan Hari Aspirasi Belia Negeri Kedah 2025 yang diadakan di Pekarangan Muzium Negeri Kedah, di sini.

Katanya, program yang dianjurkan oleh Gerakan Belia 4B Negeri Kedah itu dilihat sebagai satu medium serta wadah kepada golongan belia untuk mengutarakan aspirasi dan inspirasi yang ada.

“Program seperti ini perlu ada kesinambungan kerana persatuan ini ialah satu jambatan antara kerajaan dengan belia peringkat akar umbi. Kita tidak mahu hanya melaksanakan dasar dan undang-undang, tetapi tidak dirasai oleh golongan belia itu sendiri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan