AM > BERITA

Kerap Dilanda Banjir, Penduduk Kampung Pasir Raja Rayu Pembinaan Masjid Baharu

27/12/2025 01:01 PM

DUNGUN, 27 Dis (Bernama) -- Sering dilanda banjir terutama pada musim tengkujuh, penduduk Kampung Pasir Raja di sini meminta kerajaan agar mempertimbangkan pembinaan sebuah masjid baharu bagi menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah.

Imam Masjid Kampung Pasir Raja Bustaman Abdullah, 77, berkata masjid berusia hampir 50 tahun itu terletak di kawasan rendah berhampiran sungai, sekali gus menyebabkan bangunan itu kerap dinaiki air setiap kali berlaku hujan lebat.

"Setiap kali banjir, penduduk sukar ke masjid kerana pekarangan masjid dilimpahi air, kadangkala solat Jumaat tidak dapat dilakukan kerana ruang solat juga ditenggelami air," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Pasir Raja hari ini.

Mengulas lanjut, Bustaman berkata masjid yang hanya dapat menampung kira-kira 100 jemaah itu sebelum ini melalui beberapa kerja pengubahsuaian termasuk meninggikan ruang solat hingga tiga meter bagi mengelakkan dinaiki air ketika banjir.

“Tapak pembinaan masjid baharu di kampung ini telah dikenal pasti, iaitu terletak di kawasan lebih tinggi dan selamat daripada risiko banjir, pemilihan lokasi yang strategik itu diyakini dapat mengatasi masalah banjir yang sering menjejaskan aktiviti ibadah penduduk selama ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Raja Tengku Mat Yunus Tengku Mat Rani berkata pihaknya telah menghantar surat permohonan pembinaan masjid baharu beberapa kali sebelum ini kepada pihak berkaitan, namun masih belum menerima maklum balas positif.

Beliau berkata pembinaan masjid baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan itu juga akan memberikan keselesaan kepada penduduk kampung berkenaan untuk menunaikan solat dan melakukan aktiviti keagamaan.

"Kita harap pihak berwajib dan kerajaan dapat percepat pembinaan masjid itu supaya kesulitan penduduk menggunakan masjid setiap kali banjir dapat diatasi, malah kerosakan serta kerugian akibat banjir pun dapat dikurangkan," katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan