IPOH, 27 Dis (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan terus berperanan sebagai penyedia teknologi, pengetahuan serta kepakaran dalam sektor agromakanan negara.
Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata usahawan sektor itu pula menjadi rakan strategik dalam mengkomersialkan inovasi demi menyokong agenda keterjaminan makanan negara dan pembangunan ekonomi negeri secara mampan.
"Aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menekankan peningkatan produktiviti domestik dan pengukuhan rantaian nilai makanan.
"(Selain itu), penggunaan teknologi moden, penglibatan agropreneur muda serta kelestarian ekonomi hijau memerlukan kerjasama erat antara MARDI dan para usahawan," katanya ketika berucap merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan MARDI Perak dan Karnival Usahawan MARDI Perak 2025 yang berlangsung di Kuala Kangsar hari ini.
Beliau berkata penganjuran program itu mampu memperkukuh hubungan dua hala dengan masyarakat dan memperkasa pembangunan usahawan sektor agromakanan.
Mohamad Zabawi juga berkata program itu menjadi platform strategik untuk MARDI mendekati pelanggan di peringkat akar umbi, mendengar keperluan sebenar di lapangan selain memastikan teknologi dan inovasi yang dibangunkan benar-benar praktikal, relevan serta memberi impak langsung kepada pengguna dan industri.
"Program Hari Bertemu Pelanggan ini mencerminkan iltizam MARDI untuk sentiasa berada dekat dengan masyarakat manakala Karnival Usahawan MARDI Perak pula membuktikan peranan MARDI bukan sekadar sebagai institusi penyelidikan tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan usahawan agromakanan dan agroindustri,” katanya.
Beliau berkata kejayaan sektor pertanian dan agromakanan ketika ini amat bergantung kepada sinergi kukuh antara penyelidikan, pemindahan teknologi serta keupayaan usahawan menterjemahkan inovasi kepada produk dan perkhidmatan bernilai komersial.
Mohamad Zabawi berharap penganjuran program seumpama itu dapat diteruskan serta diperkasa pada masa hadapan dengan penglibatan lebih luas daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya belia dan usahawan baharu.
Program sehari itu menyediakan pelbagai pengisian termasuk pameran dan jualan produk usahawan bimbingan MARDI, sesi khidmat nasihat teknikal serta perniagaan, demonstrasi teknologi pertanian, penyampaian bahan tanaman kepada usahawan perintis selain aktiviti libat urus bersama agensi berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial