AM > BERITA

Pendidikan Sivik Penting Bendung Tabiat Membuang Sampah – Lee Lam Thye

29/12/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) – Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat terhadap pesalah membuang sampah berulang dilihat sebagai langkah pencegahan yang wajar, namun penyelesaian sebenar terhadap isu kebersihan negara terletak pada pengukuhan pendidikan sivik.

Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye, berkata walaupun hukuman berbentuk ‘memalukan’ atau penghinaan awam terhadap pesalah tegar sudah lama wajar dilaksanakan, ia tidak menjamin perubahan jangka panjang dalam sikap masyarakat.

Menurut Lee, selain penguatkuasaan, kunci kepada pembentukan masyarakat bersih yang tidak membuang sampah sesuka hati adalah tahap kesedaran sivik yang tinggi, yang mesti dipupuk sejak peringkat awal.

“Walaupun anda terus mengenakan denda kepada mereka (pesalah), mereka tetap acuh tak acuh. Ada yang bayar, ada yang tidak. Ini hanya menjadi penghalang bagi sesetengah orang, tetapi bukan penyelesaian sebenar. Penyelesaiannya adalah pendidikan, dan ia mesti ditekankan dari sekolah,” katanya kepada Bernama.

Pada Sabtu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, mengeluarkan peringatan terakhir bahawa perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2026, sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan lebih ketat terhadap pembuangan sampah di tempat awam.

Nga berkata pegawai penguat kuasa telah diarahkan untuk menegakkan undang-undang baharu ini, yang bertujuan memperkukuh kebersihan awam dan tanggungjawab sivik masyarakat.

“Mana-mana individu, termasuk warga asing, yang membuang sampah di tempat awam akan dikenakan denda RM2,000 dan dijatuhi hukuman 12 jam kerja pembersihan awam,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau.

Lee berkata walaupun khidmat masyarakat sesuai untuk mendisiplinkan pesalah yang degil dan mengabaikan denda, penguatkuasaan mesti dilaksanakan dengan betul dan adil oleh pihak berkuasa berkaitan.

Beliau menambah, selain inisiatif kementerian, pihak berkuasa tempatan juga mesti memastikan tenaga kerja mencukupi ditempatkan di lapangan bagi melaksanakan perintah itu dengan berkesan.

Mengambil Jepun sebagai contoh, Lee berkata kejayaan negara itu mengekalkan kebersihan bukan semata-mata kerana undang-undang, tetapi berpunca daripada pemikiran yang dipupuk sejak kecil.

“Di Jepun, apabila anda berjalan di jalan raya, hampir tidak terdapat tong sampah. Orang di sana sudah berada pada tahap bahawa jika mereka membawa kertas atau sampah lain, mereka hanya menyimpannya di poket sehingga menemui tempat yang sesuai untuk membuangnya,” katanya.

Lee turut menekankan bahawa integriti adalah elemen penting dalam isu ini, dengan menegaskan individu tidak seharusnya membuang sampah walaupun tiada orang melihat.

“Pendidikan sivik adalah kunci bagi semua ini, dan tiada tempat yang lebih baik untuk menanamkannya selain di sekolah, bagi mendidik kanak-kanak sejak awal supaya menghargai dan mencintai alam sekitar serta mengelak daripada melakukan perkara yang mencemarkannya,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan