AM > BERITA

Akta Pembaziran Makanan Wajar Jadi Pilihan Terakhir

30/12/2025 10:33 AM

Oleh Suraidah Roslan

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Penggubalan undang-undang ketat berkaitan pembaziran makanan seharusnya menjadi langkah terakhir dalam menangani isu yang semakin membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Kluster Kelestarian dan Kesihatan Bumi, Akademi Profesor Malaysia (APM) Prof. Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata pendekatan perundangan hanya wajar diperkenalkan apabila tahap kesedaran majoriti rakyat mengenai pembaziran makanan, yang kini hampir mencecah 17,000 tan sehari, sudah mencukupi.

Beliau mencadangkan kerajaan memulakan kempen kesedaran awam secara menyeluruh dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain memperkenalkan peraturan berkaitan pembaziran makanan dalam kalangan peniaga dan pembekal, termasuk pasar dan restoran.

Ibrahim turut mencadangkan kerajaan dan pihak berkepentingan memperkenalkan inovasi berkonsepkan "kitaran makanan", merangkumi keseluruhan rantaian makanan, daripada sumber hingga pengurusan sisa.

Inisiatif itu diyakini mampu membantu pengagihan lebihan makanan kepada golongan miskin serta menyokong industri penghasilan baja kompos.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, mengenai tahap pembaziran makanan yang semakin membimbangkan di negara ini.

“Terdapat banyak negara yang sudah mempunyai akta, peraturan atau amalan untuk mengurangkan pembaziran makanan. Jadi, kita boleh belajar daripada pengalaman negara lain dan menilai kelakuan rakyat sebelum memperkenalkan langkah penambahbaikan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, aktivis alam sekitar yang juga Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim Negara, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dr S.Mogesh berkata isu pembaziran sisa makanan perlu dilihat sebagai krisis tadbir urus sistem makanan dan bukan sekadar isu pengurusan sisa.

Beliau menegaskan sekiranya Malaysia ingin memperkenalkan akta, ia perlu memberi tumpuan kepada beberapa elemen teras termasuk kewajipan pelaporan sisa makanan serta penetapan tanggungjawab khusus kepada pengeluar, peruncit dan pengusaha makanan berskala besar.

“Ia perlu merangkumi perlindungan undang-undang bagi pendermaan makanan selamat melalui klausa ‘Good Samaritan’ bagi menggalakkan pengagihan lebihan makanan tanpa kebimbangan liabiliti,” katanya.

Mogesh menekankan penguatkuasaan akta sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan mekanisme pelaksanaan berkesan, insentif ekonomi yang tepat, data telus dan boleh diaudit, serta usaha berterusan untuk mengubah tingkah laku masyarakat.

Untuk jangka pendek, beliau mencadangkan pemisahan sisa makanan secara mandatori, pemberian insentif kepada perniagaan yang menderma lebihan makanan, serta penyeragaman label tarikh luput bagi mengelakkan pembuangan makanan yang masih selamat dimakan.

Bagi jangka panjang pula, Mogesh mencadangkan Malaysia mengamalkan ekonomi kitaran makanan, termasuk memanfaatkan sisa makanan sebagai sumber biogas dan baja pertanian.

Selain itu katanya, model ‘pay-as-you-throw’ juga boleh dipertimbangkan sebagai pendekatan memupuk kesedaran tingkah laku, selain penubuhan pangkalan data nasional sisa makanan bagi menyokong perancangan dasar berasaskan data.

Sabtu lepas, Lee berkata Malaysia perlu mengambil tindakan tegas dan segera menangani krisis sisa makanan, termasuk pengenalan Akta Pengurangan Sisa Makanan.

Beliau berkata berdasarkan kajian terkini, rakyat Malaysia membazirkan kira-kira 16,688 tan makanan setiap hari, menjadikan negara  antara penyumbang terbesar sisa makanan di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan