KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) akan mengadakan Sayembara Penulisan 55 Tahun Gapena bermula hari ini sehingga 22 Okt tahun hadapan, sebagai usaha menyemarakkan minat dan tumpuan karyawan melahirkan karya kreatif yang berkualiti.
Gapena dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sayembara bertemakan “Maruah dan Kedaulatan Bangsa” itu, bertujuan menggalakkan dan melahirkan sasterawan yang berkarya dalam menjurus kepada pembinaan negara bangsa, serta melahirkan penulis yang peka kepada kreativiti dan daya cipta yang memberi impak tinggi kepada masyarakat.
“Sayembara ini juga menjadi satu tapak untuk menghasilkan karya yang membicarakan persoalan negara dan bangsa, termasuk menggalakkan penyair di negara ini menghasilkan puisi, cerpen dan novel yang terarah kepada tema kenegaraan.
“Selain itu, ia mendorong golongan penulis mendalami dan memaparkan isu-isu kontemporari termasuk politik, ekonomi, teknologi, agama, sosial dan budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama sebagai sebuah negara bangsa, selain digalak mengupas isu-isu berkaitan serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu pertandingan berkenaan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, dan karya yang dihantar hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu dan tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori puisi, cerpen dan novel.
“Bagi kategori puisi antara syarat-syaratnya ialah setiap penyertaan mestilah mengandungi empat puluh buah sajak dalam sebuah kumpulan puisi dengan kepanjangan sebuah sajak bebas, manakala bagi kategori cerpen setiap pneyertaan perlu mengandungi 12 buah (12) buah cerpen dalam sebuah kumpulan cerpen.
“Untuk kategori novel pula panjangnya perlulah dalam lingkungan 80,00 dan 100,000 perkataan dengan setiap novel mesti mempunyai sinopsis sekitar dua halaman,” menurut kenyataan itu.
Tarikh tutup penyertaaan bagi ketiga-tiga kategori ialah pada 11.59 malam, 22 Okt tahun depan.
Gapena juga mengingatkan orang ramai setiap karya yang dipertandingkan mestilah asli, bukan terjemahan, peniruan, saduran, janaan kecerdasan buatan (AI) atau apa-apa sahaja yang menjadikan manuskrip itu tidak asli.
“Karya juga haruslah menghindari unsur sensitif dalam hal-hal agama, perkauman, seksual, undang- undang dan perlembagaan serta yang seumpama dengannya,” menurut kenyataan itu.
Pemenang berpeluang membawa pulang wang tunai RM20,000 bagi pemenang tempat pertama kategori puisi dan cerpen, dan RM25,000 bagi pemenang tempat pertama kategori novel, berserta sijil penghargaan dan hadiah iringan.
Orang ramai boleh mendapatkan borang penyertaan dan syarat-syarat khusus penyertaan sayembara ini pada pautan https://drive.google.com, dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada urus setia pertandingan, Nurul Nabilah Zainal Abidin menerusi talian 011-2909 4725.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial