AM > BERITA

Festival Kira Detik Ambang Tahun Baharu Buka Tirai Tahun Melawat Malaysia 2026

01/01/2026 12:46 AM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) secara rasmi membuka tirainya menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, iaitu sambutan ambang tahun baharu berskala besar yang berlangsung meriah malam tadi di Pavilion Kuala Lumpur.

Festival kira detik yang disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menandakan permulaan kepada usaha memacu momentum awal sektor pelancongan negara ke arah sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong dunia.

Acara anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan The Fame Events itu, menyaksikan persembahan bersepadu yang menggabungkan pertunjukan bunga api pyromusical, unjuran laser serta paparan 3D anamorfik ikonik, sekali gus mencipta detik simbolik peralihan ke tahun 2026.

Suasana sambutan turut diserikan dengan kemunculan Wira dan Manja, maskot beruang matahari bagi VM2026, yang melambangkan identiti, keramahan dan keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Tiong dalam kenyataan hari ini berkata acara simbolik berkenaan bagi mencetuskan momentum VM2026 di samping mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia ke negara ini.

“Malaysia kini bersedia sepenuhnya untuk memperlihatkan keunikan budaya, kreativiti serta layanan mesra rakyatnya.

“Ia juga menandakan permulaan kukuh ke arah aspirasi untuk mencapai sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara pada peta pelancongan dunia,” katanya.

Malam ambang tahun baharu itu juga menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan yang mencerminkan kepelbagaian bakat tempatan, yang menyaksikan penglibatan artis terkenal antaranya Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski, Vanessa Reynauld, Kidd Santhe, The Kuans dan KLP48, selain gabungan elemen muzik tradisi serta kontemporari.

Sebagai acara awam utama yang menandakan permulaan VM2026, festival berkenaan berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung tempatan dan pelancong, sekali gus memperkukuh penampilan Malaysia di pentas pelancongan antarabangsa.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama MOTAC memaklumkan bahawa untuk meluaskan impak sambutan, beberapa aktiviti sampingan turut dianjurkan di sekitar ibu kota, termasuk Bazar VM2026 di Pavilion Bukit Jalil, Pameran Seni dan Budaya VM2026 di Fahrenheit 88 serta bazar makanan dan persembahan jalanan di kawasan Bukit Bintang, yang memberi peluang orang ramai mendekati warisan serta kreativiti tempatan.

“Festival berkenaan turut disokong oleh Tourism Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai rakan utama, selain beberapa agensi kebudayaan sebagai rakan strategik,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan