AM > BERITA

ONSA Pastikan Internet Lebih Selamat Untuk Kanak-kanak Dan Keluarga - MCMC

01/01/2026 10:06 AM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bermula hari ini menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.   

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

"ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998),” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, ia tidak terpakai terhadap pengguna individu.

Menurut MCMC, peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A AKM 1998 turut berkuat kuasa hari ini, sekali gus menjadikan semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada serta perlu mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.   

"Secara keseluruhan, langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian," menurut kenyataan itu.   

MCMC turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

Maklumat lanjut mengenai ONSA boleh didapati melalui laman sesawang MCMC https://www.mcmc.gov.my/ms/media/press-releases/faq-the-online-safety-act-2025-onsa.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan