AM > BERITA

Malaysia Perlu Sampai Mesej Jelas Perangi Sindiket Dadah - Lee

01/01/2026 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu menyampaikan mesej yang jelas kepada sindiket dadah antarabangsa dan tempatan bahawa negara tidak akan bertolak ansur jika tanah air ini digunakan untuk menghasilkan, menyimpan atau menjadi laluan transit dadah berbahaya, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata tindakan yang tegas dan bersepadu amat diperlukan untuk menghalang sindiket dadah antarabangsa dan tempatan daripada menjadikan Malaysia sebagai pusat pemprosesan dan hab transit dadah.

Lee berkata penangkapan dan rampasan dadah oleh pihak berkuasa negara baru-baru ini menunjukkan bahawa sindiket dadah semakin teratur, canggih dari segi teknologi dan kejam dalam menyasarkan Malaysia, sekali gus menimbulkan ancaman serius bukan sahaja kepada kesihatan dan keselamatan awam, tetapi juga kepada keselamatan negara, kestabilan sosial dan masa depan generasi muda.

"Penyalahgunaan dadah memusnahkan keluarga, menimbulkan jenayah, membebankan sistem penjagaan kesihatan, dan menghakis produktiviti. Komuniti yang sedang bergelut dengan masalah sosial menjadi semakin rapuh apabila dadah berakar umbi. Kita tidak boleh membenarkan sindiket ini meraih keuntungan dengan mengorbankan nyawa rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Lee memuji tindakan bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen dan badan penguatkuasaan lain dalam membongkar rangkaian dadah, menyerbu makmal pemprosesan, merampas bahan kimia precursor dan mengekang aktiviti penyeludupan rentas sempadan.

"Dedikasi dan pengorbanan mereka wajar menerima sokongan penuh daripada orang ramai," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata usaha memerangi dadah perlu bersifat menyeluruh dan seimbang, antaranya memperkukuh perkongsian risikan antara agensi tempatan dengan antarabangsa, mengetatkan kawalan bahan kimia precursor dan peralatan yang digunakan dalam pemprosesan dadah.

Selain itu katanya, usaha itu termasuk mengenakan hukuman lebih berat, perlucutan hak kewangan terhadap ketua sindiket dan dalang utama, meningkatkan pemantauan sempadan, dan mengambil langkah untuk mengelakkan kawasan perumahan dan zon perindustrian disalahgunakan sebagai makmal dadah haram.

Lee turut menekankan kewaspadaan komuniti, melaksanakan program pencegahan dan pemulihan yang komprehensif, serta pendidikan awam berterusan, terutamanya dalam kalangan golongan muda, tentang bahaya dadah sintetik.

"Perang terhadap dadah tidak boleh dimenangi melalui penguatkuasaan sahaja. Langkah ini memerlukan kerjasama ibu bapa, sekolah, pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan media. Setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan untuk menutup ruang bagi sindiket ini beroperasi," katanya.

Beliau berkata Malaysia harus kekal sebagai negara selamat dan tidak menjadi pangkalan pemprosesan dadah atau laluan transit bagi sindiket jenayah antarabangsa.

"Kami berdiri teguh bersama-sama pihak berkuasa dalam usaha penting ini untuk melindungi rakyat dan menjamin masa depan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan