AM > BERITA

Jumlah Mangsa Banjir Di Sarawak Meningkat, Johor Berkurang Pagi Ini

02/01/2026 10:10 AM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak meningkat pagi ini manakala di Johor merekodkan sedikit penurunan.

Di SARAWAK, jumlah mangsa meningkat kepada 1,136 daripada 286 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 791 orang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 252 orang daripada 52 keluarga berada di PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru, Kuching manakala selebihnya di lapan PPS lain.

 Kawasan terlibat banjir ialah Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi Baru, Kampung Sungai Batu, Kampung Surih Iban, Taman Malihah, Kampung Tengah Sungai dan Kampung Rantau Panjang di sekitar Kuching.

Sementara itu, kawasan terjejas banjir di Kota Samarahan ialah Kampung Plaie manakala di Lawas ialah Kampung Siang Siang.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Segamat berkurang sedikit kepada 134 orang daripada 36 keluarga setakat 8 pagi tadi berbanding 136 orang semalam.

Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata mereka ditempatkan di lima PPS dengan 40 daripadanya di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek (18 orang), Balai Raya Kampung Sanglang (14 orang), Dewan Serbaguna Kampung Tandong (39 orang) dan bakinya di Balai Raya Kampung Paya. 

“Dua sungai di Segamat dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 9.11 meter dan di Jeti Sungai Tekam pula merekodkan 4.04 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asman Shah memaklumkan dua jalan ditutup sepenuhnya, iaitu Jalan Felda Tenggaroh 3 di Mersing susulan cerun runtuh dan Jambatan Kesang-Sungai Rambai di Tangkak yang rosak akibat banjir.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan