AM > BERITA

KPKT Tambah RM20 Juta Untuk Turap Semula 800 Jalan Perumahan Di Perak

02/01/2026 03:12 PM

IPOH, 2 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menambah jumlah peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak melaksanakan kerja-kerja penurapan semula kira-kira 800 jalan perumahan di negeri itu.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu, Majlis Perbandaran Manjung akan mendapat RM5 juta, Majlis Perbandaran Teluk Intan pula RM3.08 juta manakala RM3.1 juta diberikan kepada Majlis Perbandaran Taiping dan selebihnya untuk majlis daerah dan PBT lain di Perak.

"Ini bermaksud hampir semua PBT di Perak akan diberikan peruntukan khas RM40 juta ini... ini adalah hasil daripada kebijaksanaan Jabatan Kerajaan Tempatan menerusi pelbagai langkah penjimatan.

"Semua (kerja penurapan semula) ini akan siap sebelum Aidilfitri... kita akan menyambut Aidilfitri pada 20 Mac, (maka) 800 jalan (ini) wajib siap," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Bandar Baru Medan Ipoh dan menyerahkan peruntukan RM40 juta kepada Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.

Pada 23 Dis lepas, beliau memaklumkan KPKT memperuntukkan RM20 juta kepada Majlis Bandaraya Ipoh bagi melaksanakan kerja penurapan semula 400 jalan perumahan di bawah seliaan PBT itu.

Menyentuh mengenai lawatan kerja itu, Nga berkata penantian warga Bandar Baru Medan Ipoh selama lebih 25 tahun telah berakhir apabila kerja-kerja penurapan semula semua jalan di kawasan itu siap sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan