AM > BERITA

Lesen Mendulang Emas Kelantan Dibuka, Peluang Rakyat Jana Pendapatan

05/01/2026 09:02 AM

Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 5 Jan (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menawarkan peluang khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan pekerja tidak tetap untuk menambah pendapatan harian menerusi aktiviti mendulang emas secara manual dengan membuka permohonan lesen rasmi bermula 1 Jan lepas.

Langkah itu dilihat sebagai usaha berimbang kerajaan negeri dalam membantu ekonomi rakyat di samping memastikan aktiviti mendulang emas dilaksanakan secara terkawal, selamat dan tidak menjejaskan alam sekitar.

Pengarah Tanah dan Galian Kelantan Datuk Nik Raisnan Daud berkata harga emas semasa di pasaran ketika ini mencecah sekitar 918 riyal (kira-kira RM565.77 segram) bagi emas 916 dengan kemungkinan turun naik sehingga 100 riyal.

“Kerajaan negeri berpandangan rakyat kecil masih mampu menyertai aktiviti ini khususnya mereka yang bergantung kepada pendapatan harian dan pekerjaan tidak tetap,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata aspek keselamatan rakyat dan kesejahteraan komuniti setempat menjadi keutamaan justeru kerajaan negeri bercadang menggazetkan kawasan tertentu bagi memastikan aktiviti mendulang emas dijalankan secara terkawal tanpa menjejaskan penduduk kampung.

Nik Raisnan berkata syarat utama yang ditetapkan ialah aktiviti mendulang emas hanya dibenarkan secara manual tanpa penggunaan mesin berskala besar bagi mengelakkan risiko kerosakan alam sekitar serta ancaman keselamatan.

Menurutnya, jumlah permohonan yang diterima setakat ini adalah menggalakkan namun setiap permohonan akan diteliti mengikut syarat ditetapkan, dengan keutamaan diberikan kepada golongan kurang berkemampuan sebagai usaha membantu mereka menambah pendapatan secara sah.

Sementara itu, pendulang emas, Ramzu Zaman Yusuf, 52, menyambut baik langkah kerajaan negeri membuka peluang kepada masyarakat setempat menjalankan aktiviti mendulang emas secara manual.

Beliau yang juga pengusaha tapak perkemahan di Gunung Reng, Jeli berkata peluang itu memberikan manfaat besar kepada rakyat Kelantan khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Saya berhasrat mengemukakan permohonan rasmi kepada PTG negeri dalam minggu ini. Dengan adanya lesen, kerja lebih terkawal dan sah, selain memudahkan pemantauan kerajaan negeri. Rakyat juga tidak takut untuk meneruskan aktiviti mendulang,” katanya.

Sementara itu, pengusaha tempat rehat di Jeli, Ahmad Fauzan Mohd Zain, 48, yang telah mengemukakan permohonan lesen mendulang emas, kini menunggu kelulusan serta penetapan syarat lanjut memandangkan lesen itu kali pertama diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata borang permohonan telah dihantar Khamis lepas namun setakat ini kerajaan negeri hanya mengeluarkan borang asas manakala syarat berkaitan tapak, kawasan dan kaedah pelaksanaan masih belum dimuktamadkan.

“Lesen mendulang emas melibatkan bayaran RM100 bagi permohonan dan RM100 selepas kelulusan. Aktiviti ini hanya dibenarkan secara skala kecil dan tertakluk kepada syarat tambahan mengikut keperluan semasa kerana ia berbeza dengan lesen melombong yang telah lama diperkenalkan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, pemohon kini perlu menunggu pengumuman lanjut termasuk penetapan kawasan mendulang, jenis peralatan yang dibenarkan serta kaedah penguatkuasaan, dengan kerajaan negeri dijangka memperincikan perkara itu dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata walaupun tertakluk kepada syarat dan bayaran ditetapkan, pendulang emas tetap berminat memohon lesen bagi memastikan aktiviti dijalankan secara sah dan teratur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan