SUBANG JAYA, 5 Jan (Bernama) -- Proses pembelajaran kebanyakan kanak-kanak sering bermula menerusi skrin, namun bagi peserta Explorer Rangers anjuran Sunway Theme Parks, pendidikan bermula secara bersemuka melalui interaksi dengan hidupan liar, pendedahan kepada golongan profesional dan pengalaman pembelajaran secara praktikal.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Theme Parks Calvin Ho berkata program tersebut dirangka berasaskan keyakinan bahawa pembelajaran paling berkesan apabila kanak-kanak terlibat secara aktif dengan persekitaran mereka.
Beliau berkata berbanding pembelajaran berasaskan bilik darjah, Explorer Rangers membolehkan kanak-kanak berinteraksi secara langsung dengan haiwan, golongan profesional serta persekitaran dunia sebenar, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan mudah diingati.
“Program ini melangkaui sekadar memperkenalkan hidupan liar, tetapi juga bertujuan memupuk empati, kesedaran terhadap kelestarian serta pemahaman yang lebih luas mengenai cabaran global sejak usia muda.
“Explorer Rangers disusun bagi membantu kanak-kanak memahami bahawa haiwan dan alam semula jadi wujud dalam satu ekosistem lebih luas yang memerlukan tanggungjawab dan penjagaan. Pengalaman awal ini turut berperanan membentuk cara mereka melihat kelestarian dan peranan sebagai penjaga alam dalam jangka panjang,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Calvin berkata pendedahan kerjaya merupakan komponen penting dalam program ini, memberikan kanak-kanak gambaran tentang profesion yang mungkin tidak biasa mereka saksikan.
“Dengan mendedahkan kanak-kanak kepada bidang seperti sains veterinar, pemuliharaan dan pengurusan alam sekitar, kita dapat meluaskan perspektif mereka mengenai pelbagai cara boleh menyumbang secara bermakna kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata walaupun kesan program seumpama itu mungkin tidak dapat dilihat dengan segera, impak jangka panjang tetap signifikan.
“Pada dasarnya, Explorer Rangers bertujuan membentuk cara berfikir kanak-kanak. Jika pengalaman ini mendorong mereka membesar dengan menghargai pemuliharaan, keselamatan dan kelestarian, serta kemudian mengaplikasikan nilai-nilai tersebut dalam kerjaya atau keputusan dibuat, maka itu sendiri merupakan satu hasil yang bermakna,” katanya.
Selain pendidikan mengenai hidupan liar, Explorer Rangers turut menggabungkan pengajaran tentang tanggungjawab, kerja berpasukan dan keselamatan melalui aktiviti praktikal. Kanak-kanak diperkenalkan kepada amalan penting seperti prosedur biosekuriti yang membantu mereka memahami bagaimana tindakan individu boleh memberi kesan langsung kepada kesihatan dan kesejahteraan haiwan.
Program itu juga memperluaskan pengalaman pembelajaran di luar persekitaran taman tema.
Pada sesi terkini, para peserta mengunjungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, dengan mereka diperkenalkan kepada keselamatan kebakaran dan tindak balas kecemasan.
Di bawah bimbingan Ketua Balai Muhammad Iskandar Zul Akbar Abdul Aziz dan pasukannya, kanak-kanak diterapkan pengalaman sebagai anggota bomba serta mempelajari cara mengenal pasti kebakaran, kekal tenang semasa kecemasan, menghubungi jabatan bomba dengan betul dan menggunakan pemadan api di bawah pengawasan.
“Pendidikan awal mengenai keselamatan kebakaran membina kesedaran dan amalan yang berpotensi menyelamatkan nyawa. Pendedahan secara praktikal membantu kanak-kanak memahami risiko dengan jelas berbanding teori semata-mata,” katanya.
Lebih menarik apabila kanak-kanak diberi peluang mengamalkan penggunaan pemadam api di bawah pengawasan rapi, menjadikan teori sebagai amalan dan mengubah pengajaran keselamatan menjadi pengalaman yang memberi kesan jangka panjang.
Kerjasama ini yang disokong melalui memorandum persefahaman selama dua tahun, mencerminkan misi bersama untuk membina komuniti yang peka, berinformasi dan bersedia sejak usia muda.
Explorer Rangers merupakan sebahagian daripada komitmen Sunway Theme Parks terhadap komuniti, pendidikan dan kelestarian di bawah kerangka ESG syarikat.
Menerusi kerjasama strategik dengan organisasi termasuk Pusat Perubatan Sunway, Pos Malaysia, Universiti Malaya, Sunway X Farms, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, program ini membekalkan kanak-kanak dengan kemahiran penting daripada kesedaran keselamatan dan kerja berpasukan hingga tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Bagi kanak-kanak yang menyertai program ini, pembelajaran tidak berakhir apabila program tamat. Ia berterusan melalui soalan mereka ajukan, nilai mereka pegang dan masa depan yang mula mereka bayangkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial