PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan peningkatan lebih dua kali ganda panggilan ke Talian HEAL 15555 pada tahun lepas iaitu 90,981 berbanding 42,990 pada 2024, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata majoriti panggilan tersebut diterima daripada pemanggil kumpulan umur 18 hingga 35 tahun.
Talian HEAL ialah talian bantuan kesihatan mental kebangsaan Malaysia yang disediakan oleh KMM.
"Sukar untuk saya katakan apa punca (peningkatan panggilan) tapi boleh kita bayangkan hari ini semakin ramai yang bersedia ke depan mendapatkan bantuan atau help seeking behaviour.
"Banyak faktor menyumbang kepada peningkatan ini, antaranya tekanan hidup dan peningkatan kesedaran untuk mendapatkan bantuan," katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 163,709 panggilan ke Talian Heal telah diterima bagi tempoh Oktober 2022 hingga Disember tahun lepas.
Daripada jumlah itu, sebanyak 125,417 atau 77 peratus klien telah menerima bantuan sokongan emosi manakala selebihnya 38,292 klien diberikan intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling.
Beliau berkata 451 kes krisis tingkah laku bunuh diri yang meliputi idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri telah dikendalikan oleh petugas Talian HEAL 15555.
"Daripada jumlah ini, 294 kes idea bunuh diri telah diberikan intervensi dan 157 kes cubaan bunuh diri telah dirujuk dengan mengaktifkan MERS999 dan mendapat kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kecemasan.
"Mereka ini berjaya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial