AM > BERITA

Projek Nanas Pemangkin Penyertaan Belia Dalam Sektor Pertanian Di N.Sembilan

06/01/2026 05:21 PM

SEREMBAN, 6 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan projek tanaman nanas bersama-sama belia sebagai inisiatif strategik memperkasakan penglibatan anak muda dalam sektor pertanian bermula suku pertama 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sebagai permulaan sebanyak 12 golongan belia berusia 45 tahun ke bawah dikenal pasti untuk terlibat secara langsung dalam industri penanaman nanas.

Beliau berkata fasa pertama program melibatkan sebanyak 17,000 benih nanas varieti MD2 yang akan diagihkan kepada setiap peserta terpilih dengan kos keseluruhan berjumlah lebih RM270,000.

“Pemilihan peserta akan dilaksanakan pada suku pertama tahun ini melibatkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.

“Pegawai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut membantu dari segi pengurusan kebun dan ladang termasuk amalan pertanian terbaik bagi memastikan hasil lebih berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Sembilan di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi LPNM Sheikh Umar Bagharib Ali.

Jalaluddin berkata pelaksanaan fasa pertama itu menjadi penanda aras sebelum program itu diperluas kepada lebih ramai golongan muda pada fasa seterusnya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga bercadang membuka sebuah hab pengeluaran nanas di DUN Juasseh, Kuala Pilah memandangkan kawasan itu mempunyai pengeluaran nanas terbesar di negeri ini diikuti Rembau dan Jelebu.

Sementara itu, Sheikh Umar berkata sepanjang tahun lepas tanaman dan pengeluaran nanas di negeri itu merekodkan keluasan penanaman yang meningkat sebanyak 165.87 peratus dalam tempoh lima tahun terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan 220.43 hektar melibatkan 278 usahawan berdaftar.

“Ini menunjukkan nanas bukan sekadar tanaman komoditi tetapi sumber ekonomi baharu yang semakin mendapat tempat di hati rakyat di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan