Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri
BACHOK, 7 Jan (Bernama) -- Selaras usaha kerajaan memperkukuh kebajikan mahasiswa, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melancarkan Dapur Siswa MADANI sebagai inisiatif bagi mengurangkan beban kos sara hidup kira-kira 76 peratus pelajarnya yang terdiri daripada kelompok B40.
Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata pelaksanaan inisiatif itu bertujuan memastikan pelajar mendapat akses kepada keperluan asas seperti makanan, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan harian mereka.
Beliau berkata kemudahan yang disediakan merangkumi peralatan memasak serta bekalan makanan kering yang boleh digunakan pelajar untuk menyediakan makanan sendiri.
“Selain itu, UMK turut merancang penyediaan makanan siap dimasak antara dua hingga empat kali sebulan khusus kepada pelajar asnaf dan pelajar daripada kategori miskin, dengan sekurang-kurangnya sekali seminggu makanan siap dimasak disediakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Arham berkata inisiatif berkenaan secara tidak langsung dapat membantu pelajar mengurus perbelanjaan dengan lebih berhemah, selain memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Berikutan itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Dr Mohammad Ismail berkata universiti itu merancang membuka lima Dapur Siswa MADANI di setiap kolej kediaman sepanjang tahun ini.
Beliau berkata lima lokasi berkenaan ialah di Pusat Islam UMK Bachok, Kolej Kediaman IBS UMK Bachok, Kolej Kediaman Atira UMK Bachok, Kolej Kediaman Taman Bendahara Kampus Kota Bharu serta Kolej Kediaman UMK Kampus Jeli.
Dalam perkembangan berkaitan, Arham memaklumkan UMK telah membelanjakan kira-kira RM1.5 juta pada tahun lalu bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kesejahteraan pelajar yang memberi manfaat kepada lebih 8,000 pelajar.
“Antara bantuan yang disediakan termasuk bantuan komputer riba, bank makanan, bantuan musibah, kemudahan rawatan perubatan percuma, pinjaman jangka pendek serta bantuan sewa rumah kepada pelajar asnaf dan pelajar miskin,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK Saiful Azam Shamsul Amir berkata pihaknya turut melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi membantu mahasiswa, khususnya pelajar luar kampus yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata MPP berperanan sebagai penghubung antara mahasiswa dan pihak pengurusan universiti, khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar, dalam menyampaikan keperluan serta isu kebajikan pelajar.
Menurutnya, antara inisiatif terbaharu yang telah dilaksanakan ialah pemberian kotak bantuan makanan kepada pelajar luar kampus yang terkesan akibat tekanan kos sara hidup termasuk bayaran sewa rumah.
“Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan pelajar luar kampus berdepan pelbagai cabaran. Justeru, MPP sentiasa berusaha mencari inisiatif bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata antara inisiatif di bawah gerakan MPP Prihatin termasuk pemberian ‘meal kit’ kepada pelajar di kolej kediaman serta kotak bantuan makanan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, sardin, susu dan gula.
Saiful Azam berkata dana bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan itu diperoleh melalui kerjasama dengan pihak kebajikan universiti serta sumbangan dan tajaan pihak luar, selain menyambut baik pelaksanaan Dapur Siswa MADANI yang disifatkan mampu mengurangkan beban dan tekanan kos sara hidup mahasiswa.
Pada 5 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyaluran peruntukan RM15 juta bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan Dapur Siswa MADANI di semua institusi pengajian tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial