BERITA TERGEMPAR   The Malaysia Economic Forum 2026 will be held on Feb 5 to strengthen the MADANI Economy narrative, ensuring inclusive and sustainable growth -- Economy Minister | 
 AM > BERITA

Jadual Padat Hari Kedua Lawatan Rasmi PM Anwar Ke Turkiye

07/01/2026 11:12 AM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

ANKARA, 7 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jadual padat pada hari kedua lawatan rasmi beliau ke Turkiye hari ini, termasuk pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang dijadual berlangsung di Kompleks Presiden, di sini.

Hari ini, Anwar memulakan atur cara dengan menerima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye Prof Dr Haluk Gorgun, di sebuah hotel pada sebelah pagi.

Perdana Menteri seterusnya dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk “Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Turkiye” kepada golongan profesional, akademik, pegawai kanan Turkiye serta pelajar.

Usai sesi berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menerima sambutan rasmi sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Erdogan di Kompleks Presiden.

Kedua-dua pemimpin seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) Malaysia-Turkiye sebelum sidang media bersama pada sebelah petang.

Anwar turut akan dianugerahkan pingat tertinggi Turkiye, Order of the Republic, sebagai penghargaan terhadap peranannya dalam memperkukuh hubungan dua hala.

Lawatan hari kedua akan diakhiri dengan jamuan makan malam rasmi yang dianjurkan oleh Erdogan bagi meraikan kedatangan Anwar dan delegasi Malaysia.

Perdana Menteri diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Lawatan rasmi hingga esok itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Turkiye, yang telah terjalin sejak sekian lama.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion) dan republik itu terus menjadi rakan ekonomi penting bagi Malaysia.

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (USD5.28 bilion).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan