AM > BERITA

Penjawat Awam Di KL, Putrajaya Dan Labuan Dapat Cuti Gantian Pada 2 Feb - JPA

08/01/2026 03:11 PM

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Penjawat awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menikmati satu hari cuti gantian pada Isnin, 2 Feb, susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam pada Ahad, 1 Feb ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan penetapan itu selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memperuntukkan sekiranya mana-mana hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am.

“Walaupun Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam jatuh pada tarikh yang sama, pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hanya akan menikmati tundaan hari kelepasan am pada hari berikutnya iaitu 2 Feb (Isnin).

“Bagi pegawai perkhidmatan awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tundaan hari kelepasan am bagi Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Feb (Ahad) juga pada 2 Feb,” menurut kenyataan itu.

JPA memberitahu penetapan cuti gantian akibat pertindihan tersebut seperti yang dinyatakan dalam siaran media mengenai cuti umum sempena perayaan Thaipusam dan Hari Wilayah bagi pekerja swasta pada 1 Feb 2026, yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada 31 Dis lepas adalah tidak terpakai kepada penjawat awam.

Dalam kenyataan berkenaan, JTKSM memaklumkan cuti Hari Wilayah Persekutuan merupakan cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta tidak boleh diganti selaras dengan peruntukan seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265).

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan