KOTA BHARU, 8 Jan (Bernama) -- Kutipan hasil negeri mencecah RM879.79 juta tahun lepas, iaitu 88.22 peratus daripada anggaran tahunan, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata kerajaan negeri telah merangka beberapa strategi untuk memperkukuh sumber hasil baharu dan meningkatkan kedudukan kewangan negeri.
Mohd Nassuruddin berkata antara langkah yang digariskan ialah penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) kutipan tunggakan cukai tanah pada kadar sekurang-kurangnya 80 peratus manakala KPI kutipan cukai tanah baharu disasarkan mencapai 100 peratus.
“Selain itu, penguatkuasaan hasil hutan akan dipertingkatkan meliputi royalti kayu-kayan, premium perhutanan, pampasan dalam negeri dan kayu getah. Penguatkuasaan terhadap sumber mineral seperti batu-batan, mangan, bijih besi dan emas juga akan diperkukuh.
“Pada masa sama, kadar sumbangan tetap anak-anak syarikat kerajaan negeri akan disemak semula, khususnya syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan 2026 di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan tahun ini.
Beliau berkata skim yang dilancarkan pada November lepas itu menyediakan akses pembiayaan yang lebih mudah, inklusif dan bersasar kepada usahawan kecil, khususnya golongan berpendapatan rendah, belia, wanita dan usahawan luar bandar.
“Pada tahun lepas, skim ini membiayai 10 usahawan dengan jumlah keseluruhan RM95,000, melalui proses permohonan telus bersama Bank Muamalat. Tahun ini, skim diperluaskan kepada kumpulan kedua yang melibatkan penerima daripada semua 45 kawasan Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu diharap dapat merancakkan ekonomi setempat serta melahirkan lebih ramai usahawan baharu.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menawarkan diskaun 90 peratus bagi tunggakan denda cukai tanah, yang pada awalnya berakhir pada 30 Disember lepas, namun kini dilanjutkan sehingga Mac depan.
“Keputusan ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk menggalakkan rakyat melaksanakan tanggungjawab secara berhemah demi kelangsungan dan kemajuan pembangunan negeri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial