AM > BERITA

Fi Kelestarian Pacu Pembangunan Pelancongan Mampan Selangor

08/01/2026 05:42 PM

SHAH ALAM, 8 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan fi kelestarian di Selangor merupakan langkah strategik untuk memacu pembangunan sektor pelancongan yang lebih mampan, berkualiti dan berdaya saing. 

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata kutipan fi kelestarian akan disalurkan semula secara berfokus kepada pembangunan mampan sektor pelancongan negeri, termasuk kerja penyelenggaraan infrastruktur pelancongan, pemuliharaan alam sekitar, kebersihan destinasi, peningkatan kemudahan awam dan promosi.

Beliau berkata pelaksanaan fi itu dirangka melalui pendekatan kolaboratif bersama pemain industri pelancongan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan ia memberi manfaat jangka panjang kepada pengusaha, pelancong serta komuniti setempat.

“Dengan kerjasama semua pihak, fi ini dijangka meningkatkan daya saing sektor pelancongan negeri melalui infrastruktur yang lebih berkualiti, lestari dan berdaya saing.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan manfaat kutipan dapat dinikmati semula oleh rakyat Selangor, industri dan pelancong melalui persekitaran pelancongan yang lebih berkualiti, bersih dan lestari,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Ng berkata tempoh transisi selama tiga bulan adalah munasabah dan mencukupi sebagai fasa penyesuaian awal, memandangkan pelbagai sesi libat urus dilaksanakan bersama pemain industri bagi memastikan kesiapsiagaan sistem serta pematuhan yang lancar sebelum pelaksanaan penuh dibuat.

Beliau berkata kerajaan negeri turut cakna akan kebimbangan utama pengusaha inap desa dan penginapan berskala kecil berkaitan impak kos, namun kadar fi tersebut telah ditetapkan pada tahap minimum agar tidak membebankan pemain industri serta pelancong. 

“Kerajaan negeri akan memantau pelaksanaan ini secara berterusan dan bersedia mempertimbangkan langkah mitigasi sekiranya terdapat kesan ketara terhadap kos operasi industri,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Datuk Abd Hamid Hussain berkata MBDK melalui Jabatan Pelesenan telah mengeluarkan sijil perakuan kebenaran kutipan fi kelestarian Negeri Selangor kepada pengusaha hotel di daerah itu bagi memastikan kutipan dibuat secara sah dan teratur.

Beliau berkata satu pertemuan bersama pihak pengusaha hotel akan diadakan pada Februari ini bagi mengenal pasti isu serta masalah berkaitan mekanisme kutipan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel berkata tempoh peralihan yang dianggap singkat diharap dapat dilanjutkan bagi mengurangkan beban kos operasi tambahan.

Beliau berkata sesi libat urus perlu diadakan secara berterusan dan menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan di peringkat akar umbi.

“Tempoh peralihan tersebut bukan hanya melibatkan penyesuaian oleh pengusaha hotel tetapi juga pihak berkuasa tempatan dan pelancong.

“Kami berpandangan bahawa lebih banyak sesi libat urus perlu diadakan secara berterusan dan menyeluruh, melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kefahaman yang jelas, kelancaran pelaksanaan serta penyelesaian isu operasi di peringkat akar umbi,” katanya. 

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan tempoh transisi selama tiga bulan bagi pelaksanaan fi kelestarian  bermula 1 Jan lepas untuk memberi ruang kepada pemain industri pelancongan menyesuaikan diri dengan mekanisme baharu itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan