KOTA BHARU, 9 Jan (Bernama) -- Program gunting rambut percuma dan pemberian bakul makanan anjuran Alumni Belia 4B Kota Bharu membantu meringankan beban komuniti setempat membuat persediaan sesi persekolahan yang bermula Ahad ini.
Penduduk Kampung Dusun di sini Muhd Badri Muhd Saifi, 48, berkata program gunting rambut bukan sahaja menjimatkan wang malah membantu mereka untuk tidak bersesak di premis perniagaan itu yang menjadi tumpuan ramai minggu ini.
“Program ini sangat bertepatan dengan keperluan semasa dan memudahkan urusan ibu bapa manakala sumbangan bakul makanan termasuk beras membantu menampung perbelanjaan keperluan dapur kerana banyak wang dikeluarkan untuk barangan sekolah anak,” katanya.
Muhd Badri berkata demikian kepada pemberita pada Program Jom Kembali Ke Sekolah Gunting Rambut Percuma Beramai-ramai di sini hari ini.
Ibu tunggal Zaleha Mahmood, 57, yang bekerja sebagai pembantu warung dengan upah kira-kira RM40 sehari berkata sumbangan bakul makanan sangat bermakna untuk golongan sepertinya.
“Sejak kematian suami 10 tahun lepas, saya agak bergelut dengan kewangan dengan empat daripada sembilan anak masih bersekolah.
“Bantuan sebegini mungkin biasa bagi orang lain tetapi sangat bermakna buat kami kerana sekurang-kurangnya untuk bulan ini sudah ada barangan asas dapur,” katanya menyewa rumah dengan bayaran RM600 sebulan.
Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Dusun dan melibatkan kira-kira 50 keluarga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial