KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi agensi penguat kuasa sepanjang dua tahun lalu amat membanggakan, khususnya dari segi tindakan terhadap individu berprofil tinggi.
Beliau berkata agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Saya fikir jika dibandingkan dengan dua tahun lalu, prestasi penguatkuasaan kini adalah agak membanggakan.
“Saya tidak mengatakan berpuas hati sepenuhnya, namun kita telah mengambil tindakan terhadap tokoh-tokoh besar, termasuk bekas perdana menteri dan bekas menteri,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pengenalan pasangan panda gergasi baharu di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan kerajaan memantau secara rapi anggota Jemaah Menteri dan penjawat awam bagi memastikan akauntabiliti serta integriti dalam pentadbiran negara.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan isu rasuah di Malaysia bukan sekadar bersifat endemik, sebaliknya bersifat sistemik dan memerlukan usaha berterusan serta menyeluruh untuk ditangani.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh langkah membanteras rasuah.
“Saya telah menyatakan dengan jelas bahawa usaha ini akan diteruskan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial