AM > BERITA

UPSR, PT3 Dikaji Semula: Ahli Akademik Cadang Penambahbaikan

10/01/2026 07:36 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji keperluan mewujudkan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) menerima reaksi positif ahli akademik, yang turut mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia Dr Yap Soon Li berkata jika Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) mencadangkan pengenalan semula kedua-dua peperiksaan itu, ia tidak seharusnya dilihat sebagai satu langkah ke belakang tetapi sebagai satu bentuk penyesuaian semula sistem dalam landskap pentaksiran pendidikan kebangsaan.

“Dalam banyak sistem pendidikan antarabangsa, pembaharuan pentaksiran bersifat kitaran, bukan linear. Isu utamanya bukan sama ada peperiksaan berpusat itu dianggap ‘lama’ atau ‘baharu’, tetapi bagaimana fungsinya direka semula untuk menyokong pembelajaran bermakna,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata UPSR dan PT3 sebelum ini berperanan sebagai penanda aras nasional bagi memantau penguasaan asas literasi, numerasi dan kesiapsediaan akademik pelajar, namun kelemahan utama terletak pada pendekatan yang terlalu berorientasikan peperiksaan, sehingga mendorong fenomena mengajar untuk ujian dan tekanan berlebihan.

Yap berkata sehubungan itu, jika diperkenalkan semula, UPSR dan PT3 perlu menggabungkan elemen penilaian sumatif untuk pemantauan sistem dan penilaian formatif untuk menyokong perkembangan murid secara berterusan.

Menurut beliau, reka bentuk item peperiksaan perlu beralih daripada soalan berasaskan hafalan kepada penilaian Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), penaakulan dan aplikasi pengetahuan dalam konteks dunia sebenar, selaras dengan kerangka antarabangsa seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menekankan pemindahan pembelajaran.

Beliau berkata keputusan peperiksaan juga tidak seharusnya bersifat penilaian berisiko tinggi, sebaliknya perlu diintegrasikan dengan data pentaksiran berasaskan sekolah supaya penilaian murid lebih holistik.

“Peperiksaan berpusat harus berfungsi sebagai alat diagnostik sistem bukan penentu tunggal kejayaan pelajar,” katanya sambil menekankan kepentingan memperkukuh literasi penilaian dalam kalangan guru.

Yap berkata tanpa latihan sistematik kepada guru untuk mentafsir keputusan peperiksaan dan menggunakannya untuk peningkatan pengajaran, sebarang pembaharuan pentaksiran akan gagal di peringkat pelaksanaan.

Beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi dan analitik data secara beretika bagi mengenal pasti pola kelemahan murid, jurang pembelajaran, sokongan bersasar dan intervensi berfokus.

“Pengembalian UPSR dan PT3 hanya relevan jika ia disertai dengan anjakan paradigma, daripada hanya penilaian pembelajaran, dengan turut mengintegrasikan ‘pentaksiran untuk dan sebagai pembelajaran’ secara seimbang supaya selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia terkini dan tuntutan pendidikan abad ke-21,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad berkata pengenalan semula UPSR dan PT3 dilihat sebagai wajar dalam mengukur pencapaian sebenar murid di setiap peringkat persekolahan bagi memastikan keberkesanan sistem pendidikan negara.

“Di peringkat sekolah rendah, UPSR itu menjadi checkpoint untuk mengukur pencapaian pembelajaran anak-anak kita di peringkat sekolah rendah. Kemudian PT3 adalah untuk kita mengukur pencapaian anak-anak kita di peringkat menengah rendah dan kemudiannya SPM untuk menengah atas,” katanya.

Beliau berkata ini berikutan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah yang diamalkan kini berdepan kekangan termasuk bilangan murid yang ramai, sekali gus menyukarkan pentaksiran dijalankan secara berkesan.

Walau bagaimanapun, Anuar mengingatkan KPM agar tidak mengulangi kesilapan lepas apabila UPSR dan PT3 menjadi medan “pertandingan” antara pelajar dan sekolah sehingga memberi kesan negatif terhadap emosi dan mental murid.

Beliau berkata UPSR dan PT3 seharusnya berfungsi sebagai alat untuk mengenal pasti tahap pencapaian murid selepas tempoh pembelajaran tertentu, bagi membolehkan bantuan dan intervensi awal diberikan, khususnya kepada mereka yang lemah dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira, sebelum melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya.

“Bukan tujuan kita nak mengetahui siapa murid yang paling pandai. Tujuan UPSR dan PT3 itu adalah untuk mengukur keupayaan setiap murid mengikut had ataupun potensi mereka,” katanya.

Anuar berkata tidak ada keperluan bagi KPM untuk mengumumkan sekolah terbaik atau penjenamaan kecemerlangan berasaskan keputusan peperiksaan semata-mata.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM mengaktifkan semula MPPK bagi mengkaji keperluan pelaksanaan UPSR dan PT3 selepas mengambil kira permintaan ibu bapa yang masih mahu peperiksaan berkenaan dipertimbangkan semula.

UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan