AM > BERITA

"Ghost Train" Mudahkan Perjalanan Pelajar Pedalaman Ke Sekolah

11/01/2026 11:24 AM

KUALA KRAI, 11 Jan (Bernama) -- Tren pagi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Keretapi Kuala Gris, atau lebih dikenali sebagai Ghost Train, hari ini dipenuhi pelajar yang menetap di kawasan pedalaman untuk memulakan perjalanan harian mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong pada hari pertama sesi persekolahan bagi tahun ini.

Gelaran Ghost Train sudah lama menjadi sebutan penduduk dan pelajar kerana kemunculan penuh "misteri" kereta api berkenaan di sebalik kabus tebal pada waktu pagi yang hening sebelum "hilang" ditelan kabus itu di sepanjang landasan.

Namun, bagi pelajar, tren itu bukan lagi sesuatu yang "misteri", sebaliknya menjadi nadi pengangkutan utama yang mereka nantikan seawal 6.15 pagi setiap hari untuk ke sekolah yang mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit.

Penggunaan perkhidmatan KTMB sebagai pengangkutan harian itu bukan sahaja memudahkan pergerakan mereka yang menetap di kawasan pedalaman seperti Kuala Gris, Bukit Abu dan Ulu Temiang, di sini, tetapi juga menjadikan perjalanan mereka lebih teratur, selamat dan konsisten.

Sebelum ini, kebanyakan ibu bapa perlu menghantar anak mereka ke sekolah menggunakan motosikal atau menumpang kenderaan jiran, yang melibatkan penggunaan minyak, risiko cuaca dan masa perjalanan yang agak panjang.

Bagaimanapun, selepas pas percuma untuk pelajar bagi tempoh setahun diperkenalkan pada 2023, perkhidmatan tren itu membantu keluarga menjimatkan kos harian, selain pelajar juga dapat belajar berdikari.

Bagi pelajar tingkatan satu, Nur Adriana Amani Mohd Zulkifli, 13, perjalanan menaiki tren ke sekolah menengah itu memberikan pengalaman baharu buatnya yang sebelum ini bergantung pada keluarga untuk menghantarnya ke sekolah kebangsaan.

"Pertama kali (saya menaiki tren ke sekolah) … lebih mudah dan dapat menjimatkan kos serta masa. Saya juga dapat belajar mengurus masa dan bergerak sendiri serta rasa selamat menaiki tren," katanya kepada pemberita pada Program KTMB Santuni Pelajar Wilayah Pantai Timur bersempena dengan Pembukaan Sekolah Sesi 2026 di sini hari ini.

Muhammad Mifzal Azfar Abdul Hafiz, 16, yang telah menggunakan perkhidmatan itu sejak tingkatan satu berkata walaupun perlu bangun lebih awal, rutin menaiki tren setiap pagi menyeronokkan kerana suasananya menyenangkan.

"Saya mengambil peluang sepanjang perjalanan untuk menenangkan fikiran, menikmati pemandangan pagi dari tingkap tren, serta mempersiapkan diri sebelum memulakan sesi pembelajaran di sekolah," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan