KINABATANGAN, 11 Jan (Bernama) -- Potensi pelancongan Pulau Tanjung Aru dijangka menjadi pemangkin baharu pembangunan ekonomi setempat, khususnya dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dalam industri pelancongan komuniti.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin, berkata pulau berkenaan menonjol dengan keunikan perkampungan atas air, produk makanan tradisional serta aktiviti laut yang berpotensi dijadikan tarikan pelancongan berimpak tinggi.
“Saya melihat banyak potensi di sini, bukan sahaja untuk homestay dan aset pelancongan, tetapi juga aktiviti seperti memancing di laut dalam yang boleh menarik pelancong tempatan dan antarabangsa. Ini antara peluang yang perlu kita kembangkan,” katanya selepas sesi libat urus bersama komuniti usahawan di sini hari ini.
Beliau berkata di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pelbagai dana disediakan bagi menyokong pembangunan pelancongan komuniti, terutamanya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk pembangunan inap desa (homestay), pembesaran jeti pelancongan serta penambahan aset dan aktiviti pelancongan.
Mohamad menekankan pendekatan bersepadu antara agensi seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp, SME Bank dan Bank Rakyat penting bagi memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada usahawan di peringkat akar umbi.
“Saya minta semua agensi bekerja secara terpadu untuk membantu usahawan, dan insya-Allah saya akan terus turun untuk sesi libat urus dan berinteraksi secara langsung dengan mereka,” katanya.
Sebagai perkampungan atas air yang dihuni komuniti nelayan, Pulau Tanjung Aru terletak kira-kira tiga batu nautika (5.5 km) dari bandar Sandakan dan hanya boleh diakses menerusi bot.
Pulau ini didiami penduduk etnik Brunei, suku kaum minoriti di Sabah yang sebahagian besarnya hanya ditemui di Membakut, Beaufort, Labuan dan Brunei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial