AM > BERITA

Bantuan SARA Dimanfaat Mengikut Keperluan, Sokong Kelangsungan Peniaga Kecil

11/01/2026 05:21 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan yang mula disalurkan kepada lima juta penerima pada Jumaat lepas, terus dimanfaatkan mengikut keperluan masing-masing, sama ada secara berdikit-dikit atau dibelanjakan sekali gus, selain memberi impak positif kepada peniaga runcit.

Di SELANGOR, seorang penerima Kamsiah Mat Ali, 59, berkata penyaluran bantuan SARA bulanan RM200 membantunya memulakan tahun baharu dengan merancang kelengkapan rumah secara berperingkat menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Tahun ini adalah tahun ketiga saya terima bantuan SARA. Biasanya saya tidak belanja sekali gus, bergantung kepada keperluan rumah. Saya juga akan simpan sedikit untuk persiapan Ramadan dan Aidilfitri kelak,” kata ibu tunggal itu kepada Bernama. 

Mempunyai dua anak berusia 23 dan 21 tahun yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi, wanita itu yang ketika ini tidak bekerja turut berharap lebih banyak kedai runcit terlibat sebagai rakan niaga SARA bagi memudahkan mendapatkan barangan keperluan. 

Sementara itu, penolong pengurus sebuah kedai serbaneka di Shah Alam, Aiman Amin, 30, berkata antara barang yang sentiasa dibeli penerima bantuan ialah keperluan asas seperti beras, roti dan susu formula.

Aiman berkata barangan berkenaan paling cepat habis berbanding barangan lain dan usaha itu menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu keluarga kurang berkemampuan mendapatkan makanan serta keperluan asas yang mencukupi.

Di PULAU PINANG, pemilik kedai runcit Zen Vista di Teluk Air Tawar, Gooi Han Hann, 27, berkata selepas menjadi rakan niaga SARA sejak Jun tahun lepas, jualan di kedainya turut meningkat dan berharap program itu diteruskan kerana bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah meningkatkan pendapatan peniaga kecil. 

“Sistem SARA sekarang juga semakin lancar, kiranya urusan jual beli memang tiada masalah,” katanya kepada Bernama. 

Seorang lagi peniaga, Nor Izzatul Hameed, 35, berkata program itu bukan sekadar bantuan kerajaan kepada rakyat yang memerlukan, sebaliknya turut memberi sinar rezeki kepada peniaga kecil. 

“Alhamdulillah sejak jadi peruncit SARA, jualan di kedai runcit milik keluarga saya meningkat sehingga 40 peratus dan barangan asas seperti beras, minyak masak, telur serta gula memang menjadi pilihan penerima,” katanya yang menguruskan kedai runcit Keluarga Hameed di Butterworth.

Di JOHOR, tinjauan Bernama di Econsave Pasir Gudang mendapati penerima SARA kelihatan sibuk berbelanja dengan ada yang memilih untuk menyimpan sebahagian baki bantuan itu untuk digunakan kemudian.

“Selalu saya akan beli barang sikit-sikit dan simpan baki, lagi pula saya hanya duduk seorang di rumah,” kata seorang wanita, Chan Neo Seng, 66.

Seorang lagi penerima, Mohd Khalid Kariman, 61, yang bekerja sebagai juruhebah majlis perkahwinan pula cenderung menggunakan bantuan SARA secara sekali gus kerana bimbang terlupa atau tidak menyedari masih terdapat baki yang boleh digunakan. 

Di PAHANG, beras, minyak dan telur dikenal pasti antara barangan yang mendapat permintaan tertinggi dalam kalangan penerima SARA di beberapa pasar raya tempatan di Kuantan.

Penolong pengurus cawangan sebuah pasar raya di Batu Enam, Muhammad Zailani Rosli berkata permintaan terhadap barangan keperluan itu meningkat 100 peratus pada minggu bantuan itu dikreditkan ke akaun penerima. 

Ketua juruwang pasar raya berkenaan, Siti Aezetyl Abd Rahman, pula berkata penerima kini tidak lagi membeli secara serentak seperti tahun lepas, sekali gus melancarkan urusan pembelian. 

Di SARAWAK, penerima SARA yang bekerja sendiri Mazlan Perali, 40, menyifatkan program itu sebagai langkah tepat dalam membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Walaupun jumlahnya tidak besar, bantuan ini sangat bermakna dan membantu kami merancang perbelanjaan bulanan dengan lebih baik,” katanya yang turut berharap beberapa penambahbaikan dapat dilakukan, termasuk memastikan sistem pembayaran sentiasa lancar dan bekalan barangan mencukupi bagi memenuhi permintaan.

Seorang bekas pekerja bank Hatta Fauzi, 65, yang berasal dari Kuching pula berharap agar bantuan tersebut dapat diperluaskan untuk membeli barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran yang turut merupakan keperluan harian isi rumah.

SARA Bulanan 2026 telah mula disalurkan pada 9 Jan untuk lima juta penerima isi rumah dan warga emas tiada pasangan, dan akan diikuti 3.1 juta individu bujang pada 16 Jan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan bahawa Bantuan SARA RM100 sekali beri untuk semua warganegara berusia 18 tahun ke atas akan disalurkan pada 9 Feb nanti.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan