AM > BERITA

Tiada Aktiviti Kuari, Pencemaran Teluk Akuan Akibat Hujan Lebat - Exco Perak

11/01/2026 06:26 PM

IPOH, 11 Jan (Bernama) -- Tiada sebarang aktiviti pembalakan atau kuari sedang dijalankan di Teluk Akuan, Manjung. Sebaliknya, insiden pencemaran yang dilaporkan berpunca daripada runtuhan tanah di kawasan beban atas kuari lama akibat hujan lebat luar biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Teh Kok Lim, berkata kuari berkenaan telah dihentikan operasinya sepenuhnya selepas gagal mematuhi arahan langkah mitigasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini.

Katanya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak tidak lagi mengeluarkan sebarang lesen pengoperasian dan menumpukan sepenuhnya pada kerja mitigasi di bawah pemantauan JAS.

“Hasil siasatan mendapati runtuhan tanah di kawasan beban atas menyebabkan aliran lumpur mengalir ke persisiran pantai sebelum memasuki Teluk Akuan.

“Kejadian ini berpunca daripada faktor semula jadi, iaitu taburan hujan tinggi dalam tempoh singkat, selaras dengan fenomena perubahan cuaca,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Teh menegaskan bahawa dakwaan kononnya terdapat aktiviti pembalakan atau kuari yang masih berjalan adalah tidak berasas, dan kerajaan negeri akan memantau kerja mitigasi secara berterusan bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta keselamatan penduduk setempat.

Sebelum ini, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mendakwa Teluk Akuan masih tercemar akibat aktiviti kuari walaupun operasi telah dihentikan pada 2021, dengan laluan air dan pantai dipenuhi tanah merah dan batu-batu, serta air terjun berhampiran turut terjejas.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan