AM > BERITA

Harga RM1 Sekilo Durian Tapah Hanya Libatkan Gred C - FAMA Perak

11/01/2026 06:29 PM

IPOH, 11 Jan (Bernama) -- Isu harga durian RM1 sekilogram yang dilaporkan media sebelum ini hanya melibatkan durian gred C dan bukan keseluruhan hasil durian di kawasan Jalan Pahang, Tapah, kata Timbalan Pengarah Sekuriti Makanan dan Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak Mohd Salleh Saidin.  

Beliau berkata durian gred C itu merangkumi kira-kira 70 peratus daripada pengeluaran di kawasan berkenaan, manakala durian gred A masih dijual pada harga antara RM8 hingga RM11 sekilogram selaras dengan keadaan pasaran semasa.

“Hasil perbincangan dan maklumat mendapati 20 pengumpul dan pekebun durian terlibat, dengan purata pengumpulan sekitar empat metrik tan sehari. Kebanyakan hasil durian yang dikeluarkan adalah gred C (70 peratus) dan gred B (30 peratus), yang lazimnya dikenali sebagai buah hujung.

“Selain itu, durian di kawasan ini juga dikenali dengan nama Durian Bukit Jalan Pahang, Tapah, dan musim pengeluaran dijangka berakhir pada penghujung Januari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salleh berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama Tok Batin Orang Asli Kampung Batu 6, Jalan Pahang, Tapah, Fadzli Arom bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi pemasaran durian di kawasan tersebut.

Beliau berkata hasil daripada lawatan itu juga dimaklumkan Tok Batin itu tidak memasarkan durian kepada FAMA kerana telah mempunyai peraih sedia ada yang mengambil keseluruhan hasil durian di kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, bagi musim pengeluaran kali ini FAMA tidak terlibat dalam pembelian durian berkenaan kerana hasil telah terikat dengan perjanjian sedia ada bersama peraih.

“Walau bagaimanapun, FAMA Perak sentiasa bersedia untuk berbincang dan bertindak sebagai pemudah cara sekiranya pekebun atau peraih berdepan masalah pemasaran pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Salleh berkata pendekatan itu selaras dengan komitmen FAMA untuk memastikan kebajikan pekebun terpelihara serta kestabilan pasaran durian terus terjamin.

Semalam media melaporkan pendapatan penduduk Orang Asli di sekitar Jalan Pahang dari Batu 3 hingga Batu 25 terjejas teruk susulan kejatuhan mendadak harga durian bukit pada musim ini, dengan harga jualan serendah RM1 hingga RM2 sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan