AM > BERITA

Ibu Bapa Serbu Kedai Pakaian Sekolah RM5, Buat Persiapan Akhir

11/01/2026 07:01 PM

BUTTERWORTH, 11 Jan (Bernama) -- Sehari sebelum sesi persekolahan bermula esok di Pulau Pinang, ramai ibu bapa mengambil peluang saat akhir untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak mereka, memanfaatkan jualan murah yang ditawarkan di beberapa pusat beli-belah dan kedai pakaian.

Tinjauan Bernama di sini hari ini mendapati kedai menjual pakaian seragam, kasut dan beg sekolah dipenuhi pengunjung, dengan sebahagian ibu bapa sanggup beratur panjang bagi memastikan keperluan anak mereka lengkap sebelum hari pertama persekolahan.

Antara yang menjadi tumpuan ibu bapa ialah sebuah kedai pakaian sekolah di Jalan Telaga Air di sini,  yang menawarkan pakaian seragam sekolah pada harga serendah RM5 sehelai jauh lebih murah berbanding pasaran.

Seorang ibu, N.Thasvini, 30, yang tinggal di Sungai Bakap sanggup menempuh perjalanan sejauh kira-kira 30 kilometer ke kedai itu untuk membeli pakaian sekolah bagi tiga daripada empat anaknya yang berusia enam hingga 11 tahun. 

Wanita itu mengakui terpaksa membuat persiapan saat akhir untuk membeli keperluan sekolah seorang anak perempuan dan dua anak lelakinya kerana perlu mengumpul wang terlebih dahulu.

"Saya tengok di TikTok ada kedai di sini yang buat jualan murah pakaian sekolah dan saya putuskan untuk datang beli baju anak yang akan masuk prasekolah hingga Tahun Lima di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Bakap.

“Tak sangkat dapat beli dengan harga murah hari ini, saya peruntukan kira-kira RM100 untuk baju sekolah mereka tetapi dengan harga RM5 sehelai saya hanya belanja kurang daripada RM50 untuk tiga anak,” katanya yang bekerja sebagai tukang cuci di Batu Kawan manakala suaminya K.Yuvaraj, 32, bekerja sendiri.

Bagi Ummu Thoiyibah A'azman, 37, yang bekerja sebagai jururawat, walaupun membeli pada saat akhir dia lega kerana semua kelengkapan sekolah anak-anaknya berjaya diperoleh dengan harga berpatutan. 

Dia yang tinggal di Pasir Gebu, Penaga dekat sini, membelanjakan hampir RM100 di kedai itu untuk pakaian sekolah dua anaknya iaitu Muhammad Norrizqi,10, dan Ummu Rumaisa, 8.

“Saya bekerja dan hanya hari ini ada masa untuk membeli dan walaupun agak sesak, saya lega kerana semua barang yang diperlukan berjaya dibeli dan harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai itu, S.Selvam berkata jualan murah pakaian sekolah di kedainya itu bagi membantu meringankan beban orang ramai yang berdepan peningkatan kos sara hidup selain memastikan ibu bapa dapat membeli pakaian sekolah baharu untuk anak-anak mereka. 

Dia berkata promosi jualan itu bermula sejak 15 Dis lepas hingga hari ini dengan pelbagai kelengkapan sekolah seperti baju, kain, seluar dijual pada RM5 sehelai manakala tudung sekolah dijual dengan harga RM1 sehelai.

"Tahun ini, kita bawakan lebih 20,000 helai pakaian di kedai kami dalam masa sama saya juga menghantar stok pakaian yang ditempah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke beberapa negeri seperti Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Selvam yang mengusahakan perniagaan tekstil dan langsir keluarga sejak 40 tahun lepas, berkata beliau mendapatkan bekalan baju sekolah dari syarikat yang baharu menutup perniagaan mereka dan menjualnya dengan harga murah.

Mengikut Kalender Akademik 2026  Kementerian Pendidikan, sesi persekolahan bagi sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan bermula esok.

Sesi persekolahan 2026/2027 bagi semua sekolah Kumpulan A di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang melibatkan hampir satu juta murid dan pelajar pula bermula hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan