SERDANG, 12 Jan (Bernama) -- Langkah kerajaan mengkaji semula pelaksanaan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses kajian menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Dr Mohd Azam Ahmad berkata kajian semula cadangan pengembalian peperiksaan itu dijalankan kerana terdapat permintaan daripada beberapa pihak, termasuk ibu bapa, guru dan komuniti pendidikan.
“Kita belum laksanakan lagi, kita baru nak kaji semula sebab ada pihak kata nak peperiksaan semula, ada pihak kata tak perlu.
“Jadi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek membuat keputusan yang bijaksana, iaitu untuk mengkaji semula sama ada perlunya kita bawa semula peperiksaan ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Hari Pertama Pembukaan Sekolah Sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) masih belum menetapkan pihak yang akan terlibat dalam kajian berkenaan.
Beliau juga berharap pihak yang terlibat dalam kajian itu nanti, dapat memastikan cadangan diberikan berlandaskan pengetahuan dan pemahaman yang jitu supaya murid tidak menjadi ‘tikus makmal’.
Mohd Azam turut memberikan jaminan sekiranya peperiksaan itu diputuskan untuk dilaksanakan semula, format peperiksaannya akan diteliti oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi memastikan penilaian murid berlaku secara holistik dan selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
Sementara itu, mengulas mengenai isu keselamatan di sekolah, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerja rapat dengan pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi melaksanakan pemantauan berkala melalui rondaan dan pengawasan di sekolah.
Langkah berkenaan bertujuan memastikan persekitaran sekolah lebih selamat dan kondusif membolehkan pelajar menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembelajaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial