AM > BERITA

JPN Nafi Ingkar Perintah Mahkamah Dalam Kes Permohonan MyKad Remaja

12/01/2026 05:41 PM

PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tiada keingkaran terhadap perintah mahkamah tinggi berlaku dalam kes permohonan MyKad seorang remaja berusia 17 tahun dan semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur selaras dengan undang-undang.

JPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan remaja berkenaan hadir ke kaunter Bahagian Kad Pengenalan (BKP) di Ibu Pejabat JPN Putrajaya pada 8 Jan lepas bagi menyerahkan perintah mahkamah tinggi.

“Sehubungan itu, JPN telah menyerahkan borang permohonan dan senarai semak pendaftaran lewat kad pengenalan untuk dilengkapkan oleh beliau sebagai sebahagian daripada proses pelaksanaan perintah mahkamah.

“Namun demikian, sehingga hari ini (12 Jan), JPN masih belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap daripada remaja itu untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

JPN turut menjelaskan keperluan saksi bagi dokumen permohonan daftar lewat kad pengenalan bukan terhad kepada wakil rakyat sahaja, sebaliknya boleh terdiri daripada majikan, ketua kaum, penghulu atau pegawai kerajaan kumpulan pengurusan dan profesional.

JPN menegaskan komitmen penuh untuk melaksanakan keputusan dan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Dis lepas berhubung permohonan pengeluaran MyKad individu itu dalam tempoh 30 hari daripada tarikh permohonan dibuat oleh individu itu seperti yang diarahkan mahkamah.

JPN menjelaskan keputusan mahkamah tinggi adalah berkaitan penentuan status kewarganegaraan individu itu dan pelaksanaannya oleh JPN perlu dibuat mengikut kerangka perundangan sedia ada, termasuk keperluan pendaftaran kad pengenalan bagi individu berusia melebihi 16 tahun yang tertakluk kepada proses pendaftaran lewat kad pengenalan.

Menurut JPN, kes berkenaan bukan sekadar melibatkan isu permohonan MyKad semata-mata, sebaliknya turut membabitkan penipuan dokumen ketika permohonan sijil kelahiran yang dibuat ibu individu terbabit pada 2008.

“Penipuan dokumen itu melibatkan pengeluaran bukti kelahiran secara tidak sah oleh sebuah fasiliti perubatan, iaitu Taj Hospital apabila hospital itu telah pun disenaraihitamkan oleh JPN. Isu ini adalah asas kepada ketidakselarasan dan penipuan dokumen yang direkodkan oleh JPN sebelum perkara status kewarganegaraan individu terbabit dibawa ke mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JPN memaklumkan tindakan pembetulan dan pengesahan dokumen perlu dilaksanakan terlebih dahulu selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur pendaftaran yang berkuat kuasa sebelum sebarang pengeluaran dokumen pengenalan diri dapat dilakukan. 

JPN memaklumkan jabatan itu tidak boleh terus mencetak dan mengeluarkan MyKad tanpa melengkapkan proses pembetulan rekod dan pendaftaran yang diperlukan, khususnya dalam kes melibatkan ketidakselarasan atau penipuan dokumen sebelum ini dan semua langkah yang diambil adalah bagi memastikan ketepatan, integriti rekod negara serta pematuhan kepada undang-undang. 

“JPN sentiasa berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta melaksanakan tanggungjawab pendaftaran dan dokumentasi negara secara profesional, telus dan berintegriti,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan