AM > BERITA

Perhimpunan Lambretta Terbesar: 818 Peserta Cipta Rekod ASEAN, Asia

12/01/2026 08:48 PM

SEPANG, 12 Jan (Bernama) -- Satu perhimpunan bersejarah peminat Lambretta mencatat pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records sebagai acara tunggangan santai ahli skuter anjuran jenama terbesar pernah diadakan di litar bertaraf Formula Satu di Asia Tenggara.

Dengan kerjasama Litar Antarabangsa Petronas Sepang, acara itu menyatukan seramai 818 peminat Lambretta yang menunggang skuter klasik dan kontemporari, sekali gus meraikan semangat komuniti, warisan serta kecintaan berterusan terhadap jenama ikonik Itali itu merentas generasi.

Pemilik jenama Lambretta, Walter Scheffrahn, berkata Malaysia merupakan pasaran yang amat berpotensi dan strategik bagi Lambretta, dengan peningkatan minat tempatan menjadi faktor pendorong penganjuran perhimpunan yang mencipta rekod berkenaan.

“Malaysia adalah pasaran yang sangat menarik bagi kami, dengan ramai penduduk menunjukkan minat yang tulen terhadap Lambretta. Dengan pencapaian rekod ini di sini, kami menghantar mesej jelas bahawa Malaysia memainkan peranan penting bukan sahaja di Asia, malah di peringkat global,” katanya kepada Bernama.

Scheffrahn berkata pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records itu turut meningkatkan kesedaran antarabangsa terhadap kehadiran Lambretta di rantau ini, selain meletakkan Malaysia sebagai hab premium dalam ekosistem global jenama berkenaan.

“Rekod ini bukan terhad kepada Asia semata-mata. Penduduk di seluruh dunia akan mengetahuinya, dan ini meletakkan Malaysia pada kedudukan yang menonjol di peta global dalam konteks Lambretta premium. Kami amat berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.

Beliau menyifatkan perhimpunan yang mencipta rekod itu sebagai bukti kesatuan, semangat dan kredibiliti komuniti Lambretta, sekali gus menyuntik keyakinan kepada bakal penunggang baharu.

“Hanya yang terbaik mampu mencipta rekod. Ini membuktikan Lambretta adalah jenama premium dan memberikan keyakinan kepada mereka yang masih ragu-ragu. Mereka melihat Lambretta sebagai teman hidup yang selamat, dan dengan memilikinya, mereka menjadi sebahagian daripada sebuah keluarga,” katanya.

Acara itu turut menyaksikan pelancaran Casa Lambretta X300 Edisi Terhad, dengan pengeluaran dihadkan kepada hanya 999 unit di seluruh dunia.

Pencapaian bersejarah ini seterusnya mengukuhkan kedudukan Bike Continent Sdn Bhd sebagai pengedar Lambretta terkemuka pada 2025, yang diiktiraf atas prestasi jualan cemerlang, perkhidmatan pelanggan unggul serta komitmen berterusan dalam memperluas keluarga Lambretta di Malaysia dan ASEAN.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan