AM > BERITA

Selangor Percepat Pemindahan Ternakan Babi Kuala Langat, Sepang

12/01/2026 06:30 PM

SHAH ALAM, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan mempercepatkan pemindahan ladang ternakan babi di Kuala Langat dan Sepang ke pusat ternakan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi menangani pelbagai isu pencemaran dan memastikan kelestarian alam sekitar.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam sembah maklum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini pagi tadi.

“Dalam pertemuan itu, kita dapati cadangan kajian kerajaan negeri sebenarnya selari dengan apa yang disarankan oleh Tuanku. Ia membolehkan kita merangka pelan tindakan yang lebih sistematik dan menyeluruh untuk kepentingan semua pihak.

“Kita mahu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu sebenar iaitu mendapatkan kebenaran merancang di Bukit Tagar membabitkan tanah seluas 202 hektar bagi menangani pencemaran bau dan air serta gangguan lain yang menjejaskan kesejahteraan penduduk dengan pendekatan lebih profesional dan berstruktur,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini hari ini.

Izham berkata perkara tersebut juga penting bagi mengawal penularan wabak demam babi Afrika (ASF) yang menuntut pendekatan penternakan lebih moden, lestari dan terkawal, di samping memastikan setiap operasi pemindahan dapat dijalankan secara sistematik.

Dalam merangka penyelesaian jangka panjang, Izham berkata kerajaan negeri turut mengambil kira keperluan sekuriti makanan masyarakat bukan Islam dan aspek kelestarian alam sekitar bagi memastikan keseimbangan antara keperluan manusia serta pemeliharaan alam dapat dicapai.

“Tuanku telah menegaskan bahawa baginda bukan berniat menyekat bekalan makanan orang bukan Islam kerana itu adalah keperluan asas yang mesti dipenuhi, namun ia perlu diuruskan secara lestari supaya tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Izham berkata perancangan pemindahan itu akan melibatkan pelaksanaan penternakan babi moden dan tertutup yang terletak jauh dari kawasan penempatan penduduk dan dilengkapi zon penampan yang mencukupi bagi memastikan keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata kawasan berkenaan akan dilengkapi sistem pengurusan kumbahan sifar pelepasan yang membolehkan semua sisa diurus secara terkawal dan mampu ditukar kepada biogas bagi menjana elektrik seperti model yang telah berjaya dilaksanakan di Pulau Pinang.

Izham berkata isu penternakan babi di kawasan terbabit bukan perkara baharu dan telah berlarutan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak wajar dipolitik atau dikaitkan dengan mana-mana kerajaan tertentu.

“Kita bukan mahu mencari siapa yang bersalah, sebaliknya mahu menyelesaikan isu pencemaran yang telah lama menjejaskan penduduk dan memastikan kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat dapat dipelihara dengan sebaik mungkin.

“Isu ini tidak wajar dipolitikkan kerana ia telah wujud sejak sekian lama dan kerajaan negeri kini berusaha untuk menyelesaikan masalah yang sebenar, bukannya untuk memberi alasan politik kepada mana-mana pihak,” katanya.

Pada 10 Jan lepas, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Baginda bertitah pihak istana tidak bersetuju terutamanya wujud kemungkinan membabitkan pengenalan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan