AM > BERITA

JAKIM, Pihak Berkuasa Pastikan 'Glamping With Pride' Tidak Diteruskan - Zulkifli

12/01/2026 08:18 PM

PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan program "Glamping With Pride" tidak diteruskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata pihaknya turut menyerahkan siasatan berhubung program itu kepada pihak polis.

"JAKIM akan bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa untuk memantau supaya mereka (penganjur) tidak meneruskan hasrat itu.

"Jabatan Agama Islam Selangor akan mengambil tindakan susulan bersama dengan pihak polis," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baharu, di sini hari ini.

Sebelum ini, JAKIM memaklumkan pihak berkuasa memantau rapi penganjuran program “Glamping With Pride” dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha atau pendekatan yang bertujuan  menormalisasikan perlakuan seks songsang.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata perbuatan sedemikian juga menyalahi  undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 25, Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 serta Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii.

Setakat ini, polis menerima lima laporan berkaitan iklan program berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Jan di Hulu Langat, Selangor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan