GEORGE TOWN, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan mahu Pelabuhan Pulau Pinang memainkan peranan yang lebih besar melangkaui daripada pelabuhan persinggahan kepada 'homeport' (pangkalan kapal) utama di wilayah utara selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem maritim negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu berpotensi meningkatkan aktiviti pelabuhan di samping memperluaskan rantaian perkhidmatan maritim selain menggandakan kesan limpahan ekonomi tempatan.
“Sektor pengangkutan dan maritim merupakan antara teras utama pembangunan negara kerana ia bukan sahaja menjadi pemudah cara kepada perdagangan antarabangsa, tetapi juga pemangkin kepada pertumbuhan industri serta nadi kepada keterhubungan rantaian bekalan negara.
“Justeru, Kementerian Pengangkutan (MOT) sentiasa menekankan kepentingan perancangan dasar dan pembangunan infrastruktur yang bersepadu bagi memastikan sistem pelabuhan negara kekal cekap, berdaya saing dan mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ulang Tahun ke-70 Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari dan Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin.
Loke berkata Pelabuhan Pulau Pinang memainkan peranan strategik sebagai pintu masuk utama untuk aktiviti perdagangan, pergerakan kargo serta sokongan kepada sektor perkilangan dan logistik di wilayah utara.
Beliau berkata keupayaan pelabuhan berkenaan untuk beroperasi secara konsisten, selamat dan teratur telah menyumbang secara langsung kepada keyakinan pelabur serta kelancaran pergerakan barangan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Dalam pada itu, prestasi memberangsangkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dari segi jumlah pengendalian kargo selain pengiktirafan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan kontena ke-10 tersibuk di dunia, manakala PTP di tempat ke-15, menjadi penanda aras penting bagi Pelabuhan Pulau Pinang untuk melaksanakan lonjakan strategik dalam operasi dan perkhidmatan, katanya.
Selain itu, sektor pelancongan kapal persiaran turut diilhat sebagai antara peluang pertumbuhan berpotensi tinggi untuk diperkasakan dengan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) berada di kedudukan yang strategik sebagai pintu masuk utama di wilayah utara yang telah mengendalikan lebih daripada 700,000 penumpang pada tahun lepas.
Loke berkata hab pemunggahan kargo utama negara kini ialah PTP, di mana kira-kira 95 peratus pengendalian kontena adalah untuk tujuan itu, manakala Pelabuhan Klang kekal sebagai pintu masuk utama negara, dengan kapasiti dijangka meningkat kepada 28 juta TEU berikutan dengan pembesaran pelabuhan berkenaan.
“Sehubungan itu, Pelabuhan Pulau Pinang akan terus diberi perhatian dan menjalani pembangunan untuk mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk wilayah utara. Ini penting kerana asas industri di bahagian utara sangat ketara; Pulau Pinang merupakan pangkalan bagi sektor pembuatan dan kami juga mengendalikan banyak kargo ke selatan Thailand,” katanya.
Menteri itu menambah kapasiti semasa Pelabuhan Pulau Pinang ialah 2.3 juta TEU dan selepas pengembangannya, ia dijangka meningkat kepada 6.8 juta TEU.
Rancangan pengembangan itu meliputi tempoh 30 tahun sehingga 2053, dengan sasaran kapasiti maksimum ditetapkan pada 6.8 juta TEU.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial