AM > BERITA

MCMC Pertimbang Saman X, Grok Disekat Sementara Kerana Kandungan Tidak Senonoh

13/01/2026 12:38 PM

SHAH ALAM, 13 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti tindakan perundangan terhadap platform X, susulan kegagalan aplikasi kecerdasan buatan (AI) miliknya Grok, mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu dipertimbangkan berikutan maklum balas yang diterima MCMC daripada pihak X didapati tidak memadai dan bersifat proforma (sekadar mengikuti tata cara yang berlaku).

“MCMC telah menghubungi pihak X minggu lepas bagi mendapatkan penjelasan mengenai aplikasi Grok yang boleh menghasilkan kandungan tidak senonoh, terutama melibatkan kanak-kanak dan wanita, yang jelas melanggar undang-undang negara.

“Maklum balas yang diterima sangat tidak memadai. Jadi selepas saya menerima laporan daripada MCMC, saya telah mengarahkan supaya sekatan sementara dikenakan terhadap Grok dan tindakan undang-undang turut dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Fahmi berkata sekatan berkenaan tidak melibatkan keseluruhan platform X, sebaliknya tertumpu kepada aplikasi Grok yang didapati tidak mempunyai langkah keselamatan mencukupi bagi mengawal penjanaan kandungan oleh AI.

Manakala tempoh sekatan terhadap Grok bergantung sepenuhnya kepada tahap pematuhan pihak X terhadap undang-undang Malaysia.

“Isu ini melibatkan pelanggaran Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Keselamatan Dalam Talian. Selagi kandungan yang melanggar undang-undang terus boleh dihasilkan dan diterbitkan, tindakan boleh diambil terhadap platform terbabit.

“Berapa lama Grok akan disekat, itu tidak dapat dipastikan. Syaratnya jelas, mereka mesti patuh dan akur dengan undang-undang negara kita,” katanya.

Fahmi berkata Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengambil langkah tegas terhadap Grok, apabila beberapa negara lain termasuk Indonesia telah menyekat aplikasi tersebut, manakala United Kingdom sedang meneliti isu sama.

“Ini menunjukkan kebimbangan global terhadap kegagalan Grok menyediakan safeguard yang mencukupi dalam penggunaan AI,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (JKDT) yang baharu dibentuk dan dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dalam masa terdekat.

“Kita mahu memastikan Internet di Malaysia menjadi lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga. Undang-undang kita sebenarnya mencukupi, yang penting ialah aspek penguatkuasaan dan pematuhan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan, Fahmi berkata kementerian menyasarkan untuk memperoleh kerjasama semua platform media sosial menjelang pertengahan tahun ini, bagi mengehadkan penggunaan media sosial hanya kepada 16 tahun ke atas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan