AM > BERITA

N.Sembilan Terima Bayaran Pertama Pampasan Premium Tanah Di Gemas Berjumlah RM72.49 Juta

13/01/2026 02:39 PM

SEREMBAN, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima bayaran pertama pampasan premium tanah di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM72.49 juta pada 31 Dis lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata baki sembilan lagi pembayaran akan dijelaskan secara berperingkat selepas ini, dengan keseluruhan pembayaran berjumlah RM1.26 billion membabitkan tanah seluas 3,800 hektar.

“Saya rasa ini tanah paling luas dalam negara kita yang dimiliki Kementerian Pertahanan untuk latihan mereka, Alhamdulillah pada 31 Dis, mereka telah membayar premium pertama secara beransur, yang telah tertangguh selama lebih 10 tahun.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan (pembayaran itu) dan saya yakin bahawa dengan adanya premium ini, akan lebih memudahkan pengurusan tanah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2026 membabitkan kira-kira 1,500 penjawat awam, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zafir Ibrahim dan Exco Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan bersetuju menyelesaikan bayaran pampasan premium tanah yang tertunggak sejak sekian lama kepada kerajaan Negeri Sembilan, melibatkan tanah di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Aidilfitri bernilai RM300 kepada hampir 50,000 penjawat awam Persekutuan yang bekerja di negeri itu, dengan ia akan disalurkan sebelum perayaan berkenaan.

Beliau berkata pemberian BKK itu diharap dapat menjadi motivasi dan suntikan semangat kepada mereka, untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan lebih berkesan kepada rakyat termasuk jabatan masing-masing.

“Dalam konteks pentadbiran negeri, apabila top to bottom dan bottom to top bergerak seiring, kita bukan sahaja dapat mempercepat pelaksanaan dasar malah dapat memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan