AM > BERITA

Sunway Malls Sambut Tahun Kuda Dengan Kempen "Galloping Into Prosperity"

13/01/2026 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sunway Malls melancarkan kempen Tahun Baharu Cina dengan tema Galloping into Prosperity bersempena Tahun Kuda dengan menonjolkan semangat perpaduan, pembaharuan dan momentum ke hadapan. 

Tumpuan utama sambutan ialah di Sunway Velocity Mall dengan Atrium Utama diubah menjadi destinasi perayaan menampilkan susun atur bulat yang dinamik bagi melambangkan kesinambungan, pergerakan dan kebersamaan.

Reka bentuk itu mencerminkan inti pati tradisi Tahun Baharu Cina, iaitu keluarga dan komuniti berkumpul untuk mengeratkan hubungan sambil memandang ke hadapan dengan optimisme dan keyakinan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls HC Chan berkata tema kempen itu mencerminkan perjalanan pertumbuhan kumpulan yang pantas dan berfokus, terutamanya sepanjang tahun lepas yang menandakan beberapa pencapaian penting.

Beliau berkata 2023 menyaksikan penambahan dua pusat beli-belah baharu ke dalam kumpulan, iaitu Sunway 163 Mall dan Sunway Square yang mengembangkan portfolio Sunway Malls kepada 11 pusat beli-belah di seluruh negara.

“Dengan lima lagi pembangunan sedang dirancang, iaitu Sunway Pier, Sunway Ipoh, Sunway Seremban, Sunway RTS dan Sunway Majestic, kami bersedia untuk mencapai 15 pusat beli-belah dalam masa terdekat dan mungkin beberapa lagi selepas itu.

“Ini sememangnya era yang sangat mengujakan bagi kami kerana terus bergerak pantas ke hadapan untuk berkhidmat kepada lebih banyak komuniti,” katanya pada majlis pelancaran di sini hari ini.

Majlis itu diserikan dengan penyertaan pengurus-pengurus pusat dari Sunway Malls di seluruh negara bagi melambangkan perpaduan dan momentum kolektif merentasi kumpulan. 

Setiap mereka memegang Kunci Kemakmuran Emas yang digunakan secara bersama-sama dalam   upacara itu sebagai isyarat yang mencerminkan komitmen ke arah kemajuan, limpahan rezeki dan permulaan baharu.

Pemasangan dekorasi perayaan di Sunway Velocity Mall menampilkan bentuk seni bina yang mengalir, laluan bertingkat dan pintu gerbang terbuka yang direka untuk mewujudkan pengalaman pengunjung yang lebih bersepadu dan mengasyikkan.

Lampu tanglung tradisional dan elemen flora dipadankan dengan interpretasi reka bentuk kontemporari sekali gus menggabungkan warisan budaya dengan estetika moden.

Satu lagi tumpuan utama ialah perasmian Lukisan Kuda Shan Shui Hidup yang digerakkan untuk mewakili zhuan da yun atau putaran tuah besar dalam tradisi Cina.

Majlis hari ini turut dihadiri oleh pengurusan kanan dari Sunway Malls Selangor, Kuala Lumpur, Wilayah Utara dan Wilayah Selatan.

Selain itu, beberapa rakan kongsi juga menyumbang kepada sambutan itu termasuk UOB Bank, Jasmine, Eu Yan Sang, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Wan Seng Hang Dragon & Lion Arts dan Malaysia Singapore Super Car Club.

Bersempena dengan Tahun Kuda, turut berlangsung ialah pameran 15 kereta super termasuk Ferrari, Porsche dan Mustang di Sunway Velocity Mall.

Sambutan juga dimeriahkan dengan persembahan tarian singa tradisional oleh Wan Seng Hang Dragon & Lion Arts yang dipimpin oleh Siow Ho Phiew.

Sepanjang tempoh sambutan selama sebulan, Sunway Malls di seluruh negara akan menampilkan dekorasi bertemakan Tahun Baharu Cina, persembahan kebudayaan, aktiviti mesra keluarga dan ganjaran beli-belah sebagai sebahagian daripada kempen Galloping into Prosperity.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan