AM > BERITA

SPRM, HELP University Teroka Bidang Baharu Pendidikan Antirasuah

13/01/2026 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan HELP University memperbaharui komitmen bersama untuk meneroka bidang baharu dalam pendidikan antirasuah serta usaha menangani jenayah ekonomi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, kerjasama itu akan diperkukuhkan melalui penawaran program pendidikan tinggi yang memfokuskan aspek tatakelola dan integriti selain khidmat nasihat serta perundingan pencegahan rasuah melalui perkongsian kepakaran untuk membanteras salah guna kuasa dan penyelewengan.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin sejak 2010 itu telah memberi impak signifikan apabila seramai 29 pegawai SPRM berjaya menamatkan pengajian dalam Program Sarjana Pengurusan Jenayah Ekonomi dengan biasiswa penuh daripada HELP University dan sebahagian daripada mereka kini memegang jawatan penting dalam Suruhanjaya ini.

“Kerjasama ini membuktikan komitmen bersama dalam membanteras salah guna kuasa dan penyelewengan melalui pembangunan modal insan yang berintegriti.

"Sebagai permulaan, pegawai-pegawai SPRM terpilih, akan mengikuti program pengajian Sarjana dan kedoktoran APEL.Q di universiti ini yang dijadualkan bermula akhir Januari 2026," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SPRM dan HELP University di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, Canselor dan Pengasas Bersama HELP University, Prof Datuk Dr Paul Chan berkata, MoU ini mencerminkan komitmen institusi itu dalam menyokong pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS), selain memperkukuh integriti dan amalan tadbir urus yang baik di Malaysia.

MoU tersebut dimeterai oleh Tan Sri Azam dan Prof Datuk Dr Paul Chan dengan disaksikan oleh Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Dato' Mohd Hafaz Nazar dan Ketua Pegawai Integriti merangkap Pengarah Institute of Crime and Criminology HELP University, Dato’ Sri Prof Dr Akhbar Satar.
 
Sementara itu, Dato' Mohd Hafaz turut dilantik sebagai Profesor Adjung dalam bidang Liabiliti Korporat, Tadbir Urus dan Rangka Kerja Antirasuah (Corporate Liability, Governance, and Anti-Corruption Frameworks) di HELP University selama setahun mulai 2 Januari hingga 31 Disember 2026.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM, Dato' Idris Zaharudin; Naib Canselor HELP University, Prof Dr. Andy Liew dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan