AM > BERITA

HRD Corp Luluskan Bantuan Kewangan RM2.62 Bilion Tahun Lepas

13/01/2026 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Human Resource Development Corporation (HRD Corp) meluluskan bantuan kewangan sejumlah RM2.62 bilion untuk aktiviti latihan dan pembangunan kemahiran pada 2025, pertumbuhan sebanyak 32 peratus berbanding 2024.

Dalam kenyataan hari ini, HRD Corp memaklumkan terdapat lebih 2.8 juta tempat latihan bagi program dan skim ditadbir oleh agensi kerajaan itu direkodkan pada 2025, yang turut mencatat peningkatan 3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Di sebalik statistik ini terdapat naratif pertumbuhan dan pembangunan yang lebih relevan. Sektor yang merekodkan bilangan tempat latihan terbanyak ialah pembuatan dengan lebih 795,000 lokasi pada tahun lepas.

"Sektor pembuatan ialah sektor kedua terbesar dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lazimnya menyumbang antara 23 hingga 25 peratus," menurut kenyataan itu.

Setakat November tahun lepas, sebanyak 2.4 juta pekerja dicatatkan dalam sektor berkenaan merentasi segmen produk elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, serta petroleum dan kimia.

Menurut kenyataan itu, purata gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan mencatat perkembangan sebanyak 1.1 peratus dari tahun ke tahun bagi tempoh sama.

"Sektor ekonomi penting lain yang memacu ekonomi digital Malaysia ialah komunikasi dan teknologi maklumat (ICT).

"Pada 2024, ekonomi digital menyumbang 23.4 peratus kepada KDNK dan dijangka menyumbang 25 peratus pada 2025. Jumlah bantuan kewangan yang diluluskan oleh HRD Corp di bawah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ialah RM130 juta. Terdapat lebih 103,000 tempat latihan yang direkodkan merentasi semua sektor ekonomi digital dan ICT," menurut kenyataan itu.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan kemahiran semakin penting kepada daya tahan tenaga kerja dan daya saing perniagaan.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa industri menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat, saluran bakat yang lebih proaktif dan keperluan pekerjaan yang berkembang, justeru HRD Corp menumpukan kepada hasil yang praktikal untuk majikan, mudah diakses oleh komuniti dan sejajar dengan hala tuju masa depan pembangunan tenaga kerja di Malaysia dan rantau ASEAN.

Di samping keutamaan latihan yang dipimpin oleh majikan, HRD Corp mengekalkan fokus yang kukuh terhadap akses inklusif kepada pembangunan kemahiran melalui inisiatif yang disasarkan dan sebanyak 18,137 rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan kemahiran ini yang melibatkan gabungan geran kerajaan dan dana dalaman HRD Corp.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan