AM > BERITA

JBIOCC Pacu Bandar Pintar Johor Bahru, Tarik Minat China Dan Amerika Syarikat

14/01/2026 11:19 AM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 14 Jan -- Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru (JBIOCC) yang berperanan memperkukuh pengurusan bandar raya itu telah menarik minat delegasi negara kuasa ekonomi dunia seperti China dan Amerika Syarikat.

Penolong Pengarah Pengangkutan Bandar dan Komander JBIOCC Dr Choo Kok Wah berkata model tadbir urus bandar bersepadu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan bandar berkenaan, turut mendapat perhatian delegasi dari Indonesia dan Singapura.

Beliau berkata keupayaan JBIOCC dalam menarik perhatian negara itu menerusi sesi lawatan mereka ke Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebelum ini, akan membuka peluang kerjasama strategik dalam aspek teknologi bandar pintar sejagat serta perkongsian kepakaran antara satu sama lain.

Menurutnya, pusat kawalan dibangunkan MBJB dan beroperasi sejak Disember 2023 itu berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ dalam memantau bandar raya tersebut dari aspek keselamatan, jenayah, bencana, kesesakan lalu lintas, pengurusan infrastuktur bandar, kebersihan alam sekitar dan kerosakan jalan raya. 

“...dengan kewujudan JBIOCC ini, keyakinan pelabur terhadap pembangunan bandar Johor Bahru dari aspek perancangan bandar pintarnya dan tahap keselamatan akan turut meningkat,” katanya kepada Bernama.

JBIOCC yang berpangkalan di Menara MBJB, dengan skrin paparan sepanjang 12 meter, akan memantau segala aktiviti di bandar raya itu melalui 500 kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi 15 ciri pintar AI.

Beliau berkata JBIOCC mampu mengesan kira-kira 10,000 insiden setiap bulan termasuk kemalangan jalan raya, jenayah, pembuangan sampah haram, banjir kilat, kerosakan jalan raya dan operasi peniaga haram.

JBIOCC akan menyelaras kesemua insiden berkenaan melalui perkongsian maklumat kepada jabatan dan agensi yang dipertanggungjawabkan, bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil dalam tempoh 24 jam.

“CCTV berkenaan mempunyai ciri-ciri pengesan wajah dan nombor pendaftaran kenderaan, sekali gus membantu penguatkuasaan dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya yang turut menjelaskan bahawa privasi orang awam sentiasa menjadi keutamaan MBJB dan tidak disalah guna.

Pengoperasian JBIOCC disokong penggunaan 10 sistem paparan maklumat LED (VMS) di jalan-jalan utama, yang menyalurkan maklumat terkini seperti kesesakan lalu lintas dan banjir kilat kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, JBIOCC turut diintegrasikan dengan empat butang panik yang ditempatkan di lokasi tumpuan orang awam iaitu di Jalan Wong Ah Fook, Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Johor Bahru, Dataran Bandaraya dan Taman Tasik Merdeka.

Butang panik yang dihubungkan dengan kamera CCTV di lokasi strategik ini, akan mempercepat respons pihak berkuasa atau jabatan berkaitan di lapangan.

"Misalnya, seseorang itu terkena serangan jantung, sesiapa yang berada di lokasi boleh menekan butang panik untuk berhubung secara terus dengan kakitangan JBIOCC sebelum disalur kepada pihak berkaitan,” katanya.

Pada masa sama, Choo berkata kewujudan JBIOCC turut melonjakkan kejayaan MBJB mencapai Tahap 3: Leading Smart City dalam Penarafan Bandar Pintar Malaysia tahun lepas, sekali gus menjadikannya pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang mencapai tahap berkenaan.

Pengiktirafan berprestij itu mengiktiraf MBJB sebagai peneraju utama transformasi bandar pintar negara, hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang menumpukan kepada keberkesanan tadbir urus, kesejahteraan komuniti dan kemampanan bandar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan