AM > BERITA

Syor EAIC Kes Kematian Dalam Tahanan, Draf Memorandum Dikemuka Disember Lepas

14/01/2026 02:02 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Draf Memorandum Jemaah Menteri berhubung pelaksanaan syor Jawatankuasa Kajian Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terhadap kes kematian dalam tahanan serta cadangan langkah pencegahan telah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri pada Disember lepas.

Memorandum berkenaan dikemukakan oleh pasukan petugas khas bagi pelaksanaan syor jawatankuasa kajian itu, susulan siri tindakan dan penelitian mendalam yang telah dilaksanakan terhadap syor yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Kajian EAIC.

Laporan itu sebelum ini telah dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) pada 7 Mei 2024, yang kemudian memutuskan penubuhan pasukan petugas khas berkenaan.

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan intipati memorandum tersebut merangkumi beberapa perkara antaranya, sebanyak 19 ahli pasukan petugas khas yang mewakili 13 kementerian, jabatan dan agensi, termasuk EAIC telah mengemukakan ulasan komprehensif dan secara dasarnya menyatakan persetujuan terhadap syor yang dikemukakan. 

“Ia juga merangkumi permohonan persetujuan Jemaah Menteri bagi pelaksanaan 13 langkah pencegahan yang telah dikenal pasti untuk dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam pengendalian tahanan, khususnya Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia,” menurut EAIC.

Segala syor yang dikemukakan dalam memorandum itu akan melibatkan implikasi kewangan dan perundangan, yang akan dikaji dan diperhalusi secara berasingan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya secara praktikal.

“Selain itu, laporan jawatankuasa kajian tersebut diharap akan membantu kerajaan dalam menambah baik polisi sedia ada dan turut merumuskan polisi baharu yang lebih baik dengan mengenal pasti kelemahan sistem, yang menyumbang kepada kematian dalam tahanan serta meningkatkan kerjasama antara agensi dalam menjaga hak asasi manusia,” kata EAIC.

Penyerahan draf memorandum itu turut mencerminkan komitmen berterusan EAIC dan semua agensi terlibat dalam memastikan tadbir urus pusat tahanan di Malaysia ditambah baik secara menyeluruh bagi mencegah sebarang insiden berkaitan kematian dalam tahanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan