BAGAN SERAI, 14 Jan (Bernama) -- Kompleks pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kurau yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat, bakal muncul sebagai pusat pendaratan utama serta hab eksport sumber perikanan ke pasaran domestik dan antarabangsa.
Pengarah LKIM Perak Ahmad Zulkifli Ismail berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kerian bagi memastikan operasi kompleks berkenaan berjalan lancar, selain mematuhi piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.
Menurutnya proses perjanjian antara LKIM dan persatuan nelayan kini sedang dimuktamadkan, manakala beberapa kerja pengubahsuaian turut dilaksanakan bagi memenuhi keperluan industri semasa.
“Ia merupakan satu perkembangan positif kepada industri perikanan tempatan kerana merangkumi rantaian lengkap daripada akuakultur, pendaratan ikan sehingga aktiviti eksport,” katanya ketika ditemui selepas meninjau aktiviti nelayan dan akuakultur di Kuala Kurau, hari ini.
Beliau berharap inisiatif itu mampu meningkatkan hasil laut serta pendapatan nelayan, khususnya di kawasan utara Perak.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zulkifli berkata beberapa kawasan baharu berpotensi bagi projek sangkar ikan telah dikenal pasti dan permohonan rasmi akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Katanya projek itu bukan sahaja tertumpu di daerah Kerian, malah melibatkan beberapa daerah lain memandangkan Perak mempunyai sistem perairan yang luas dan sesuai untuk pembangunan akuakultur.
“Kerian kekal sebagai penyumbang terbesar sektor akuakultur di Perak, selaras peruntukan kira-kira 3,000 hektar kawasan bagi pembangunan projek ikan sangkar, udang dan kerang,” katanya.
Beliau menjelaskan LKIM tidak mewajibkan penggunaan teknologi sangkar moden, sebaliknya memberi pilihan mengikut kemampuan pengusaha.
“Sangkar tradisional masih boleh digunakan, namun sangkar moden lebih kukuh dan mampu mengurangkan risiko kerosakan akibat cuaca buruk, walaupun kosnya lebih tinggi,” katanya.
Katanya hasil akuakultur Perak bukan sahaja memenuhi pasaran tempatan, malah turut dieksport ke Singapura, Korea dan Jepun bergantung kepada permintaan serta harga semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial