AM > BERITA

Pemisahan Kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya Elak Pendakwaan Politik - Azalina

14/01/2026 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Pemisahan bidang kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya dapat memastikan proses pendakwaan negara lebih bebas daripada pengaruh politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata langkah itu juga memperkukuh akauntabiliti institusi undang-undang khususnya melibatkan kebertanggungjawaban AG sebagai penasihat undang-undang negara.

“Yang lebih penting adalah peranan AG untuk kebertanggungjawaban dalam Mesyuarat Kabinet dan di Parlimen. Itulah matlamat utama.

“Kalau tidak, saya jawab bagi pihak (AG) dan setiap kali saya jawab, saya tidak boleh menjelaskan lebih lanjut daripada jawapan yang telah saya terima,” katanya.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama editor-editor media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rang undang-undang pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menjadi perundangan pertama dijadual dibentangkan pada sesi Parlimen yang bermula 19 Jan ini.

Dalam pada itu, Azalina berkata perbincangan pihaknya dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen menunjukkan sokongan menyeluruh terhadap undang-undang berkenaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan