AM > BERITA

Tengku Amir Berkenan Sampaikan Sijil Tamat Pengajian Kepada Pelajar Tahfiz Istana Alam Shah

14/01/2026 05:59 PM

KLANG, 14 Jan (Bernama) -- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan Sijil Tamat Pengajian kepada sembilan pelajar Pengajian Tahfiz Istana Alam Shah sesi 2021-2025 dalam satu majlis di sini. 

‎Ketibaan Tengku Amir Shah pada 2.30 petang disambut oleh Pengerusi Masjid Istana Diraja Selangor Tengku Datuk Putra Tengku Azman Shah dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin. 

‎Tengku Putra dalam sembah ucapannya berkata sejak ditubuhkan pada 2011, pengajian tahfiz itu berjaya melahirkan 31 huffaz, yang merupakan satu pencapaian membanggakan. 

Beliau berkata selain melahirkan penghafaz al-Quran, pengajian itu juga berjaya menghasilkan graduan berkualiti yang mampu menabur bakti dalam pelbagai bidang utama seperrti doktor, jurutera, guru dan imam.

“Program pengajian tahfiz ini dijalankan secara tersusun dan dengan kerjasama sistematik erat Pejabat Sultan Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor serta Lembaga Zakat Selangor.

“Melalui program ini, para pelajar mengikuti kelas menghafaz al-Quran di Masjid Istana Diraja pada waktu malam dan selepas Subuh sementara pembelajaran pula dijalankan di Maahad Akademik Integrasi Tahfiz Selangor terletak di Alam Impian, Shah Alam,” katanya. 

‎Dalam pada itu, wakil pelajar Muhamad Hariz Mirza Muhamad Jirza, 18, berkata pengajian tahfiz bukan sekadar menghafaz al-Quran malah mampu membentuk peribadi, memperkukuh akhlak serta memupuk rasa tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. 

“Kami berazam untuk terus memelihara hafazan, meningkatkan kefahaman terhadap al-Quran dan ilmu al-Quran serta mengamalkan ajaran al-Quran dalam setiap aspek kehidupan kami,” katanya. 

‎-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan