AM > BERITA

Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Penyalahgunaan Visa Pelawat - Fahmi

14/01/2026 07:04 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Tindakan susulan akan diambil oleh agensi penguatkuasaan terhadap warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat untuk bekerja di Malaysia, dengan pemantauan dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata isu berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Kita (Jemaah Menteri) telah membincangkan beberapa masalah yang telah dibangkitkan oleh komuniti perniagaan dan beberapa pihak yang lain mengenai keberadaan warga asing yang telah menyalahgunakan visa sebagai pelawat untuk bekerja  di Malaysia dalam beberapa sektor.

“Tindakan susulan akan diambil oleh badan-badan penguatkuasaan dan pemantauan akan dibuat oleh pihak KDN,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Sebelum ini, KDN dilaporkan menyatakan komitmen untuk memperkukuh kawalan sempadan dan membanteras penyalahgunaan kemudahan imigresen menerusi pendekatan menyeluruh di tiga peringkat iaitu sebelum ketibaan, di pintu masuk dan dalam negara.

Langkah itu memberi tumpuan khusus kepada isu pelawat asing yang menyalahgunakan pas lawatan untuk bekerja atau berniaga secara tidak sah di Malaysia.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Lembaga Majlis Media Malaysia baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai satu pencapaian penting dalam usaha menubuhkan majlis berkenaan.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, ahli-ahli majlis memaklumkan mereka memerlukan sedikit masa untuk menguruskan aspek pentadbiran asas sebelum dapat melaksanakan peranan dengan lebih menyeluruh.

“Setelah beberapa perkara asas ini dapat diselesaikan, mereka memberi komitmen untuk menguruskan isu kod etika para wartawan, termasuk mekanisme untuk menerima aduan daripada khalayak umum berhubung isu-isu berkaitan pelaporan media,” katanya.

Fahmi berkata beliau turut memaklumkan kepada Majlis Media Malaysia (MMM) mengenai Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang baru sahaja menutup fasa pertama, dengan hasrat untuk membantu organisasi media, khususnya media legasi seperti akhbar, radio dan televisyen, memulakan proses pendigitalan.

Beliau berkata penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) bertujuan untuk mendampingi pengamal media dan bukannya menggantikan wartawan atau jurukamera.

“Saya juga telah meminta supaya MMM memainkan peranan yang signifikan dengan diberikan pentas dan ruang sewajarnya sepanjang Hari Wartawan Nasional yang dijadualkan berlangsung, insya-Allah, pada Jun nanti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan